GAZA: Tentera Israel dilaporkan membunuh sekurang-kurangnya 11 rakyat Palestin, termasuk dua kanak-kanak dalam siri serangan berasingan di seluruh Gaza pada semalam.
Insiden itu merupakan pelanggaran terbaharu oleh Israel terhadap gencatan senjata bersama Hamas yang mula berkuat kuasa pada 10 Oktober tahun lalu.
Pihak berkuasa Pertahanan Awam Gaza dan agensi berita Reuters melaporkan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun dan remaja berusia 14 tahun adalah antara mangsa yang terkorban dalam serangan di bahagian utara wilayah tersebut.
Jurucakap Pertahanan Awam Gaza, Mahmoud Basal memaklumkan, empat orang terbunuh, termasuk kanak-kanak berusia tiga tahun berkenaan dalam serangan yang menyasarkan sebuah kenderaan polis di Bandar Gaza.
Kementerian Dalam Negeri Gaza dalam satu kenyataan berkata, pesawat pejuang Israel menyasarkan kenderaan polis di pusat bandar yang mengakibatkan beberapa kematian dan kecederaan.
Seorang pegawai polis dilaporkan terbunuh, manakala sekurang-kurangnya sembilan orang awam yang berada di lokasi kejadian cedera, dengan sebahagian daripada mereka berada dalam keadaan kritikal.
Basal turut menambah bahawa seorang lagi mangsa terbunuh akibat tembakan tentera Israel di kawasan Beit Lahiya di bahagian utara pada awal hari tersebut.
Menjelang lewat petang Selasa, Pertahanan Awam melaporkan satu lagi serangan Israel telah mengorbankan beberapa individu berhampiran sebuah persimpangan di kem pelarian Shati, Bandar Gaza.
Pegawai perubatan di Hospital Al-Shifa kemudiannya mengesahkan penerimaan lima jenazah mangsa pengeboman dron Israel melibatkan dua peluru berpandu yang menyasarkan sekumpulan orang awam di kem pelarian tersebut.
Reuters melaporkan bahawa serangan Israel itu mengenai kawasan berhampiran sebuah kafe dan selain mangsa yang maut, beberapa individu lain turut mengalami kecederaan, menurut kenyataan rasmi pegawai kesihatan.
Walaupun gencatan senjata antara Israel dan Hamas yang bermula pada Oktober lalu telah memperlahankan perang genosid Israel ke atas Gaza selama dua tahun, tentera Israel dilaporkan terus melancarkan serangan harian ke atas wilayah berkenaan.
Sejak gencatan senjata itu dipersetujui, hampir 760 rakyat Palestin telah terkorban akibat serangan berterusan oleh tentera Israel.- AL JAZEERA










