Israel bedil infrastruktur Hizbullah di Beirut

Israel bedil infrastruktur Hizbullah di Beirut

SEORANG lelaki berjalan melepasi serpihan runtuhan di lokasi serangan udara Israel di di Bir al-Abed, pinggir selatan Beirut, Lubnan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Tentera Israel memulakan serangan terhadap infrastruktur Hizbullah di Beirut, selepas memusnahkan sebuah jambatan di timur Lubnan bagi menghalang pasukan tambahan kumpulan yang disokong Iran itu daripada menyeberang.

Wartawan AFP melaporkan terdengar dua letupan kuat di ibu negara dalam tempoh setengah jam pada awal Sabtu dan melihat kepulan asap daripada satu kawasan yang diserang.

Media tempatan melaporkan, dua serangan berlaku di pinggir selatan Beirut, kawasan yang menjadi sasaran serangan Israel dalam beberapa hari kebelakangan ini ketika rejim meneruskan pencerobohan darat di selatan Lubnan.

Lubnan terlibat dalam konflik Asia Barat pada 2 Mac lalu apabila Hizbullah melancarkan roket ke Israel sebagai tindak balas serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel yang mengorbankan Pemimpin Tertinggi Iran ketika itu, Ayatollah Ali Khamenei.

Sebelum ini, tentera Israel memberi amaran akan menyasarkan dua jambatan bersebelahan di atas Sungai Litani untuk menghalang pemindahan bantuan dan peralatan ketenteraan.

Agensi Berita Kebangsaan Lubnan (NNA) berkata, pesawat Israel menyasarkan jambatan yang menghubungkan Sohmor dengan Mashgara, menyebabkan ia musnah.

Media tempatan Lubnan turut melaporkan, sebuah jambatan kedua turut terkena serangan itu.

Serangan di Sohmor berterusan hingga awal Sabtu, dengan NNA melaporkan pusat bandar itu diserang dua kali ketika pesawat perang berbunyi kuat di udara.

Israel sebelum ini menyerang lima jambatan lain di atas Sungai Litani di selatan negara itu, termasuk kebanyakan laluan utama yang melintasi kawasan tersebut.

Sungai itu terletak kira-kira 30 kilometer (km) di utara sempadan Israel, kawasan di mana rejim mahu mengekalkan kawalan keselamatan.

Di Sohmor, dua orang terbunuh dan 15 lagi cedera dalam serangan Israel ketika jemaah meninggalkan masjid selepas solat Jumaat, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan.

Pihak berkuasa Lubnan berkata, lebih 1,300 orang terbunuh dalam tempoh sebulan permusuhan itu.- AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN