Harapan Arif-Roy King semakin tipis ke Piala Thomas

Harapan Arif-Roy King semakin tipis ke Piala Thomas

ARIF Junaidi-Yap Roy King
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peluang beregu lelaki negara, Arif Junaidi-Yap Roy King untuk menggalas cabaran negara pada saingan Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark dilihat semakin tipis berdasarkan bayangan diberikan barisan kejurulatihan.

Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi menjelaskan, pemilihan pemain ke kejohanan berprestij itu akan berpaksikan pengalaman serta tahap kesiapsiagaan semasa, sekali gus membuka ruang kepada pasangan lain yang dianggap lebih layak.

Menurutnya, ketidakstabilan prestasi yang dipamerkan Arif-Roy King menjadi antara faktor utama penilaian, lebih-lebih lagi selepas mereka terkandas seawal pusingan pertama Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2026 di Ningbo, China, baru-baru ini.

“Memang mereka masih dalam proses, boleh diberi peluang, tetapi kita juga ada pilihan lain yang mungkin lebih bersedia. Jadi, kemungkinan untuk mereka tidak dipilih itu memang ada.

“Keputusan muktamad bukan di tangan saya sahaja kerana pihak pengurusan akan berbincang terlebih dahulu, tambahan pula Rexy Mainaky berada di Ningbo untuk menilai prestasi pemain,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara hari ini.

Sebelum itu, langkah Arif-Roy King tersekat di pusingan pertama BAC selepas tewas dalam perlawanan sengit 17-21, 21-17, 20-22 kepada pasangan Taiwan, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen.

Mengulas lanjut, Herry menegaskan kelemahan utama pasangan tersebut adalah kegagalan mengawal tekanan di saat genting sehingga kerap melakukan kesilapan mudah ketika mata-mata kritikal.

Beliau turut berpandangan Arif-Roy King seharusnya mampu menamatkan perlawanan itu dengan kemenangan selepas berada dalam kedudukan selesa mendahului 19-17 pada set penentuan.

“Pada mata-mata penting, mereka kurang tenang dan terlalu banyak melakukan kesilapan mudah. Saya lihat mereka sepatutnya boleh menang kerana sudah berada di depan dalam set ketiga,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN