Haaland hatrik, City mara ke separuh akhir Piala FA

Haaland hatrik, City mara ke separuh akhir Piala FA

Erling Haaland
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER: Erling Haaland meledak hatrik untuk membawa Manchester City mara ke separuh akhir Piala FA buat kali kelapan berturut-turut selepas membelasah Liverpool 4-0 dalam aksi suku akhir kejohanan di Stadium Etihad, hari ini.

Kemenangan bergaya itu menyaksikan City terus mengukuhkan reputasi sebagai kuasa besar dalam saingan domestik, sekali gus membuka peluang memburu kejuaraan berganda musim ini.

Pengurus City, Pep Guardiola yang menjalani penggantungan terpaksa menyaksikan perlawanan dari tempat duduk penonton namun tetap berpuas hati melihat anak buahnya mempamerkan aksi bertenaga untuk menundukkan Liverpool yang tampak longlai.

Sebaliknya, kekalahan itu dijangka meningkatkan tekanan terhadap pengendali Liverpool, Arne Slot yang masih mencari rentak terbaik bersama The Reds.

Dalam aksi tersebut, City bermula agak perlahan sebelum dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-38 selepas Virgil van Dijk menjatuhkan Nico O’Reilly di dalam kotak penalti.

Haaland tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan sepakan tersebut, sekali gus meletakkan tuan rumah di hadapan.

Penyerang Norway itu terus menambah derita pelawat apabila menanduk masuk gol kedua hasil hantaran lintang Antoine Semenyo sejurus sebelum rehat.

Liverpool yang sebelum itu menguasai permainan gagal memanfaatkan peluang terhidang, termasuk percubaan Mohamed Salah yang tersasar ketika berdepan penjaga gol serta sepakan penalti yang berjaya diselamatkan James Trafford.

Penderitaan Liverpool berterusan pada babak kedua apabila Semenyo menjaringkan gol ketiga sebelum Haaland melengkapkan hatriknya untuk memastikan kemenangan selesa City.

“Menakjubkan. Pada separuh masa pertama kami agak bergelut sedikit tetapi kami teruskan selepas 30 minit. Hebat, satu lagi perjalanan ke Wembley untuk kami yang sangat penting.

“Antara minit ke-30 hingga ke-60, ini adalah salah satu persembahan terbaik kami (musim ini),” kata Haaland.

Kemenangan ini menyaksikan City semakin hampir untuk menjulang satu lagi trofi, sekali gus mengukuhkan status mereka sebagai antara pasukan paling dominan di England ketika ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN