Empat tahun lebih tua, Bern lengkapi pemikiran saya -Diana Danielle - Utusan Malaysia

Empat tahun lebih tua, Bern lengkapi pemikiran saya -Diana Danielle

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEKA-teki siapakah ahli perniagaan yang berjaya menambat hati pelakon, Diana Danielle terjawab apabila aktres itu pertama kali memperkenalkan gerangan lelaki dipanggil, Bern itu kepada pihak media semasa program rumah terbuka, baru-baru ini.

Masing-masing mengenakan pakaian putih sedondon, saling tersenyum dan tersipu malu. Cerita Diana atau Diana Danielle Danny Beeso, 34, pengenalan pertama mereka juga bermula di sebuah acara rumah terbuka setahun lalu ketika dirinya sudah tamat melalui tempoh iddah selepas bercerai dengan bekas suami, Farid Kamil, pada Mac lalu.

Jejaka yang empat tahun lebih tua daripadanya itu menunjukkan ciri-ciri lelaki bertanggungjawab dan sentiasa mempunyai idea bernas dalam menyokong impian pelakon kacukan Melayu-Amerika itu.

“Dia empat tahun lebih tua daripada saya, ramai ingat dia sebenarnya lebih muda. Saya perlukan seorang lelaki yang melengkapi cara pemikiran saya, seolah-olah saya otak kanan, dia kiri.

“Tak semestinya memberi sokongan dari segi kewangan tetapi dari segala aspek yang membuat kita rasa selamat. Sebab semua itu penting untuk kita bina masa depan bersama-sama,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ditanya mengenai sifat Bern yang membuat hatinya luluh, pelakon Imaginur itu tidak menolak kekasihnya mempunyai aura yang membuat dirinya mudah disayangi ramai termasuklah oleh ibunya sendiri, Norsiah Ramli. Perkara itu menjadi petanda baik untuknya dalam memilih calon pasangan hidup.

“Dia seorang yang sangat bertolak ansur dan selalu bantu saya dalam semua yang saya lakukan. Sebagai wanita bekerja, saya tidak fikir soal status dan wang cukuplah jika dia sokong kerjaya, kehidupan dan juga perancangan masa depan.

“Jika saya ada ada idea terutama dalam perniagaan, dia akan layankan sahaja. Jadi kalau ada yang beranggapan saya memilihnya sebab duit, saya bukan orang begitu,” katanya.

Jelasnya lagi, buat masa ini, dia dan Bern selesa untuk saling mengenali hati budi dan belum bersedia melangkah ke alam perkahwinan. Katanya, keputusan membina keluarga baharu memerlukan pandangan dan persetujuan banyak orang terutama dua orang anaknya iaitu Muhammad, 14 dan Nur Aurora,12.

“Saya tidak mahu komen mengenai anak-anak, saya mahu mengenali Bern sebagai seorang individu. Cuma emak saya yang selalu nak tahu saya sedang berkenalan dengan siapa, mungkin dia risau.

“Tapi bila saya bawa jumpa emak, dia suka Berd. Saya pun dah kenal dengan keluarga dia. Bagi saya dengan menjadi lebih terbuka, semuanya akan lebih selamat tak buat sesiapa terkejut atau ada pihak yang nak dedahkan bagi pihak saya.

“Saya rasa makin saya kongsi, orang juga tak kisah,” katanya.

Berlakon dalam filem pelumba rali Malaysia

Dalam perkembangan lain, Diana bakal tampil menerusi lakonanya sebagai ibu tunggal bernama Marini dalam filem pelumba rali Malaysia, Terbang yang bakal menemui penonton tahun ini. Filem ini diinspirasikan daripada kehidupan legenda aksi pelumba rali malaysia, Karamjit Singh.

Filem tersebut diarahkan oleh Chiu Keng Guan yang juga pengarah pecah panggung untuk filem Ola Bola dan The Journey yang penuh emosi dan gaya sinematik mengesankan.

“Pengarah saya merupakan antara pengarah terbaik yang pernah saya bekerja. Dia boleh sunting, arahkan, dan tahu apa yang dimahukan dalam fikiran. Oleh itu, segala perkara termasuk tempo dan momentum lontaran dialog.

“Saya sangat bersyukurlah dapat bersama dalam satu projek yang sangat gah ini,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN