Dua pemain tenis remaja Kedah idam harumkan nama negara

Dua pemain tenis remaja Kedah idam harumkan nama negara

ATIF Izzuddin Mohd Sallehuddin beraksi ketika menyertai Kejohanan Lawn Tennis Association Of Malaysia (LTAM) Junior Tour 2026 yang berlangsung di Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Minat yang bermula sejak kecil menjadi pencetus kepada perjalanan seorang remaja berusia 13 tahun untuk menapak lebih jauh dalam arena sukan tenis.

Bagi Atif Izzuddin Mohd Salehuddin, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Sungai Petani, sukan tenis bukan sekadar aktiviti riadah, sebaliknya medan mengasah disiplin, kekuatan mental dan semangat juang.

Menurutnya, penglibatan dalam sukan tersebut bermula sejak enam tahun lalu selepas melihat kejayaan abang-abangnya yang sering menyertai pertandingan tenis.

“Saya tengok mereka selalu naik pentas masa pertandingan. Dari situ saya jadi minat dan mula berlatih, saya peruntukan tiga hari seminggu dengan tempoh sehingga enam jam setiap sesi bagi memastikan kemahiran terus berkembang,” katanya ketika ditemui pada Kejohanan Lawn Tennis Association of Malaysia (LTAM) Junior Tour 2026.

Sepanjang penglibatan dalam sukan itu, Atif Izzuddin pernah menyertai beberapa kejohanan termasuk Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) dan pengalaman paling bermaknanya apabila meraih tempat ketiga dalam acara beregu bawah 12 tahun pada MSSM di Johor, tahun lalu.

“Walaupun hanya tempat ketiga, ianya memberi semangat untuk saya terus berusaha kerana tenis bukan sukan mudah. Kita kena kuat dari segi mental dan sentiasa positif. Selain itu, kena berlatih bersungguh-sungguh untuk tingkatkan prestasi.

“Tahun ini sasaran saya mahu menjadi juara MSSM bawah 14 tahun, sama ada dalam acara perseorangan atau beregu. Saya juga berharap dapat memperbaiki permainan serta menguatkan mental ketika bertanding,” katanya.

Lebih jauh daripada itu, dia memasang impian untuk mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa suatu hari nanti, termasuk beraksi di Sukan Olimpik.

Sementara itu, Muhammad Aqeel Rais Rohaizat, 12, mula bermain tenis pada 2023 sebelum mengambil keputusan untuk memberi tumpuan penuh terhadap sukan berkenaan.

MUHAMMAD AQEEL RAIS ROHAIZAT

Menurutnya, pada peringkat awal dia sekadar mencuba selepas tertarik melihat orang lain bermain, sebelum membeli raket sendiri dan mula menjalani latihan secara konsisten.

Dia yang turut pernah menyertai kejohanan MSSM mengakui pengalaman berdepan beberapa pemain yang lebih berpengalaman termasuk dari Johor dan Pahang amat berharga buatnya.

Katanya, pertemuan dengan pemain yang lebih senior membuka ruang untuk dia mempelajari banyak perkara terutama dari segi tahap latihan dan persediaan fizikal.

“Bila lawan pemain yang lebih lama dalam tenis, kita sedar mereka memang berlatih bersungguh-sungguh untuk sampai ke tahap itu. Jadi kalau kita mahu berjaya, kita juga kena berlatih lebih kuat dan fokus dengan apa yang kita sasarkan,” katanya.

Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Rakyat itu meminati pemain tenis dari Itali, Jannik Sinner kerana mengagumi cara permainan serta disiplin latihan yang ditunjukkan pemain tersebut sehinggakan dia menggunakan jenama raket yang sama seperti Sinner.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN