PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) memulakan siasatan dalaman susulan insiden dua pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis yang ditemukan lemas, semalam.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, KPM merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dua pelajar berkenaan.
Beliau berharap seluruh keluarga dua pelajar itu diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini.
“Pada waktu ini, KPM sedang menguruskan bantuan terbaik kepada keluarga pelajar terlibat. Aspek kebajikan dan kesejahteraan diberi sepenuh perhatian.
“Kejadian ini sedang berada dalam siasatan pihak berkuasa. KPM juga telah memulakan proses siasatan dalaman bagi meneliti pematuhan setiap SOP yang berkaitan,” katanya menerusi hantraran di Facebook, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, tragedi semasa aktiviti berkayak itu, dipercayai berpunca daripada ombak dan arus kuat.
Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya akan merujuk kes terbabit kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) untuk siasatan lanjut.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang semalam, dua pelajar IPG itu ditemukan meninggal dunia akibat lemas semasa melakukan aktiviti berkayak di Pantai Merdeka.
Mayat Christopher Ling Jia Siang, 21, dan Joey Ling Lin Siang, 20, dilaporkan ditemukan pada pukul 7.30 malam.
Kedua-dua mangsa dilaporkan memakai jaket keselamatan ketika menjalankan aktiviti terbabit dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). – UTUSAN










