CAMRUN 2026: Rekod enam tahun separa marathon dipecahkan, disertai 5000 pelari

CAMRUN 2026: Rekod enam tahun separa marathon dipecahkan, disertai 5000 pelari

Ahmad Syakir (tengah) menjuarai kategori 21km Camrun dengan catatan masa sejam 19 minit pada 2026 sekali gus memecahkan rekod Mohd Syahidan Alias pada 2025 yang mencatatkan masa sejam 20 minit.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rekod enam tahun bagi kategori 21 kilometer (km) acara Cameron Night Run (CAMRUN) 2026 akhirnya berjaya dipecahkan pelari Ahmad Syakir Alwi dengan catatan masa satu jam 19 minit.

Catatan tersebut sekali gus mengatasi rekod terdahulu yang dipegang Mohd Syahidan Alias, yang mencatat masa satu jam 20 minit dalam edisi sebelum ini.

Sementara itu bagi tempat kedua pula menjadi milik Mohammad Izul Amirul Mukmim Muhammad Nasir dengan catatan masa 1:23:56, manakala Mohamad Nur Radzman Mihanad Munib, menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan catatan 1:24:58.

Kejayaan Ahmad Syakir itu menyaksikan beliau muncul sebagai pelari terpantas baharu bagi kategori berkenaan selepas rekod tersebut kekal tanpa dicabar selama enam tahun.

Bagi kategori terbuka wanita 21 km pula, pelari Yeoh Zi Kean, 33, muncul juara selepas menamatkan larian dengan catatan masa 1 jam 55 minit 46 saat; tempat kedua menjadi milik Law Lee Chee, (1:59:29) manakala Mukaminah Paiman berada di tempat ketiga dengan catatan 2:02:54.

Seramai 5,000 peserta memeriahkan acara larian membabitkan tiga kategori utama CAMRUN 2026 yang diadakan di sekitar Cameron Highlands.

Menariknya, acara larian yang memasuki tahun keenam penganjuran bukan hanya menawarkan pengalaman larian malam dalam suasana sejuk di destinasi pelancongan terkenal tanah tinggi itu.

Menurut Pengarah Pemasaran dan Komunikasi BOLT 360 Management Sdn Bhd, Azlihana Abdul Rahim, selain menawarkan pengalaman berlari dalam cuaca sejuk, laluan yang mencabar dengan ketinggian terkumpul mencecah 1,600 meter menjadikan acara ini pilihan utama pelari tempatan dan antarabangsa.

Katanya, CAMRUN turut diserikan dengan tema ‘Ketupat & Lemang Raya’ yang menampilkan elemen budaya tempatan melalui pelbagai aktiviti interaktif seperti teka lagu raya, teka kuih raya dan pertandingan anyaman ketupat, sejajar dengan penganjurannya pada tahun ini pada bulan Syawal.

“Selain itu, program ini diiktiraf sebagai produk pelancongan sukan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) dan Tourism Pahang, sekali gus menjadikannya antara acara yang menyumbang kepada pembangunan pelancongan domestik,” katanya.

CAMRUN diadakan kali pertama pada 2019 dan dianjurkan oleh BOLT 360 Management Sdn Bhd dengan rakan penaja utama, Megaklinik Dr Suffian.

Acara yang membabitkan 5 kilometer (km), 10km dan 21km menawarkan hadiah bernilai lebih RM26,000 turut menarik perhatian peserta luar negara antaranya Indonesia, China, Kanada, Singapura, Thailand dan Brunei.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN