Azira Shafinaz kongsi cara mengurat, kena usaha tanya khabar

Azira Shafinaz kongsi cara mengurat, kena usaha tanya khabar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Azira Shafinaz, mengakui menghargai lelaki yang berani menunjukkan usaha untuk mendekatinya terlebih dahulu memandangkan dirinya seorang yang pemalu.

Azira atau Azira Shafinaz Ramlan, 35, berkata, dia mudah tersentuh dengan perhatian kecil seperti bertanya khabar atau keadaannya.

“Sejujurnya, saya jenis pemalu dan bukan individu yang akan memulakan langkah untuk mendekati lelaki terlebih dahulu. Saya faham, mungkin saya nampak sukar didekati.

“Namun, jika lelaki itu menunjukkan usaha, saya sangat menghargainya. Saya suka lelaki yang berusaha walaupun melalui perkara kecil.

“Tidak perlu terlalu romantik. Perkara sederhana seperti bertanya sama ada saya sudah makan pun sudah memadai. Tetapi jangan sekadar bertanya tanpa tindakan. Kalau tanya sudah makan, belikan sekali makanan itu,” katanya.

Azira berkata demikian ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Tarung: The Unforgiven di Banglo 289, di sini, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Azira tidak menafikan tanggapan segelintir pihak yang melihatnya sebagai wanita sukar didekati, walhal dirinya terbuka untuk mengenali sesiapa sahaja.

“Saya sendiri tertanya-tanya mengapa lelaki agak takut untuk mendekati saya. Mungkin kerana saya nampak garang? Rakan-rakan saya juga ada mengatakan perkara sama.

“Mungkin mereka berasa segan atau kurang yakin untuk mendekati saya berdasarkan tahap kehidupan saya sekarang. Hakikatnya, saya seorang yang mudah didekati dan gemar berkawan.

“Jika ada yang mendekati dan saya merasakan dia sesuai dijadikan calon suami, siapa tahu mungkin ada jodoh,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Azira menegaskan dia tidak terburu-buru untuk mencari pasangan hidup, sebaliknya selesa dengan kehidupannya ketika ini.

“Buat masa ini, saya bahagia dengan kehidupan sendiri. Saya tidak terlalu memikirkan soal usia yang semakin meningkat. Tipulah jika kata langsung tidak terfikir, tetapi saya tidak mahu menjadikannya sebagai tekanan untuk berkahwin dalam masa terdekat.

“Keluarga juga tidak pernah mendesak. Saya tidak mahu melakukan kesilapan dalam memilih pasangan. Jika saya bertemu insan yang sesuai dan Allah membuka hati, insya-Allah. Doakan yang baik-baik untuk saya,” katanya.

Azira turut membintangi filem aksi Tarung: The Unforgiven arahan Razaisyam Rashid yang menampilkan barisan pelakon seperti Zul Ariffin, Bront Palarae, Aedy Ashraf, Sharifah Sakinah dan Amir Ahnaf.

Naskhah terbitan Alpha47 dengan kerjasama Icon Pictures dan Astro Shaw itu dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 7 Mei ini. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN