WASHINGTON: Kanada bersama sembilan negara lain mengeluarkan kenyataan bersama pada Selasa bagi menyatakan kebimbangan mendalam terhadap situasi kemanusiaan yang semakin meruncing di Lubnan, selain menuntut perlindungan diberikan kepada petugas kemanusiaan.
“Australia, Brazil, Kanada, Colombia, Indonesia, Jepun, Jordan, Sierra Leone, Switzerland dan United Kingdom (UK) kekal amat prihatin terhadap situasi kemanusiaan dan krisis perpindahan yang semakin memburuk di Lubnan,” menurut kenyataan itu.
Walaupun menyambut baik gencatan senjata yang dipersetujui antara Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran, kumpulan negara berkenaan tetap mendesak agar permusuhan di Lubnan dihentikan serta-merta.
Gabungan itu menegaskan orang awam dan infrastruktur awam mesti dilindungi di bawah undang-undang antarabangsa, selain mengeluarkan amaran mengenai risiko yang semakin meningkat terhadap kakitangan kemanusiaan di wilayah tersebut.
“Serangan yang mengancam keselamatan kakitangan kemanusiaan mesti dihentikan. Undang-undang kemanusiaan antarabangsa perlu dipatuhi oleh semua pihak yang berkonflik dalam sebarang keadaan.
“Kami mengecam sekeras-kerasnya tindakan yang telah mengorbankan pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan meningkatkan risiko yang dihadapi oleh kakitangan kemanusiaan di selatan Lubnan secara signifikan,” jelas kenyataan tersebut.
Negara-negara yang menandatangani kenyataan itu turut menuntut akauntabiliti terhadap sebarang pelanggaran undang-undang antarabangsa, dengan menegaskan keadilan adalah kritikal bagi mengekalkan integriti operasi kemanusiaan.
“Akauntabiliti dan keadilan yang bermakna adalah sangat penting bagi pelanggaran undang-undang antarabangsa yang mencederakan kakitangan kemanusiaan atau menghalang aktiviti mereka,” tambah kenyataan itu lagi.
Deklarasi bersama tersebut turut merujuk kepada pelancaran inisiatif global pada September 2025, iaitu Deklarasi Perlindungan Kakitangan Kemanusiaan, yang telah ditandatangani oleh lebih 100 buah negara bagi memperkukuh perlindungan terhadap pekerja bantuan di zon konflik.
Dalam perkembangan berkaitan, Israel dan Lubnan dilaporkan bersetuju untuk mengadakan rundingan terus susulan perbincangan di Washington pada Selasa yang dikendalikan oleh Setiausaha Negara AS, Marco Rubio.
Rundingan itu merupakan penglibatan diplomatik secara langsung yang pertama antara kedua-dua negara dalam tempoh lebih 30 tahun. Ia berlaku ketika Israel masih meneruskan serangan udara dan darat di selatan Lubnan, yang telah mengorbankan lebih 2,000 orang serta menyebabkan sejuta penduduk kehilangan tempat tinggal.
Israel mula menyerang Lubnan selepas kumpulan Hizbullah bertindak balas terhadap serangan AS-Israel ke atas Iran pada awal Mac lalu. -ANADOLU










