Zalensky lawat Arab Saudi kongsi kepakaran dron Ukraine

Zalensky lawat Arab Saudi kongsi kepakaran dron Ukraine

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIYADH: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, tiba di Arab Saudi semalam selepas menyatakan kesediaan negaranya untuk berkongsi kepakaran teknologi dron bagi memperkukuh tahap keselamatan di rantau Teluk.

Dalam satu hantaran di media sosial, Zelensky memaklumkan beberapa siri pertemuan penting telah dijadualkan.

“Kami amat menghargai sokongan pihak yang bersedia bekerjasama untuk menjamin keselamatan, dan kami juga menyokong mereka,” katanya.

Terdahulu, Zelensky menawarkan kepakaran teknologi dron Ukraine sebagai langkah meningkatkan keselamatan global, khususnya di rantau Teluk.

Beliau menegaskan, kestabilan rantau tersebut amat kritikal kerana keselamatan tenaga dan kos sara hidup dunia, terutama di Eropah, sangat bergantung kepada sumber minyak, gas serta kestabilan pasaran global.

“Kuncinya bukan sekadar menghasilkan senjata baharu khususnya dron tetapi juga pengalaman sebenar dalam mengendalikannya serta menyepadukan teknologi tersebut dengan radar, penerbangan, dan sistem pertahanan udara lain.

“Kami mempunyai pengalaman ini,” ujar beliau dalam satu mesej video sempena kemuncak sidang kemuncak pasukan keselamatan di Helsinki.

Sebagai balasan, Zelensky menyasarkan bantuan ketenteraan bagi mempertahankan Ukraine daripada pencerobohan Russia yang masih berterusan.

Dalam satu temu bual bersama akhbar Perancis, Le Monde, beliau menyatakan harapan agar negara Asia Barat memberi peluang kepada Ukraine untuk memperkukuh pertahanan mereka, terutama melibatkan peluru berpandu pertahanan udara yang amat diperlukan oleh Kyiv ketika ini.

Laporan BBC mendedahkan beberapa syarikat dron Ukraine mengakui didekati oleh negara-negara Teluk untuk mendapatkan bantuan teknikal, namun masih menunggu ‘lampu hijau’ daripada kerajaan di Kyiv.

Yaroslav Filimonov, Ketua Pegawai Eksekutif Kvertus, sebuah syarikat Ukraine yang menghasilkan sistem peperangan elektronik anti-dron mengesahkan bahawa mereka telah dihubungi oleh Arab Saudi dan Kuwait.

Beliau menjelaskan, sebarang urusan eksport perlu diselaraskan dengan kerajaan kerana ia bukan sekadar soal perniagaan, malah melibatkan kepentingan politik dan keselamatan negara.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TAF Industries, Volodymyr Zinovsky, turut menyatakan perkara sama apabila syarikatnya didekati oleh wakil dari Arab Saudi, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), dan Kuwait.

Beliau menegaskan komitmen syarikatnya adalah untuk kelangsungan hidup Ukraine dan bersedia menunggu kebenaran rasmi daripada kerajaan sebelum memulakan sebarang aktiviti eksport. -BBC

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN