Verstappen bakal tinggalkan F1?

Verstappen bakal tinggalkan F1?

Max Verstappen
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUZUKA: Juara dunia empat kali, Max Verstappen memberi bayangan untuk meninggalkan Formula Satu (F1) susulan prestasi hambar dan ketidakpuasan terhadap perubahan teknikal jentera.

Pelumba Belanda itu menamatkan saingan Grand Prix (GP) Jepun di kedudukan kelapan, sekali gus menambah tekanan selepas beberapa keputusan kurang memberangsangkan sejak awal musim.

Lebih membimbangkan, pelumba Red Bull Racing itu gagal menampilkan rentak sebenar apabila tersingkir awal dalam sesi kelayakan sebelum ini, sekali gus mencetuskan persoalan terhadap daya saing pasukannya musim ini.

Katanya, perubahan peraturan enjin yang menyaksikan pembahagian kuasa elektrik dan pembakaran bahan api secara seimbang memberi kesan besar terhadap prestasi jentera, selain menjejaskan pengalaman pemanduan.

“Jika anda tidak lagi menikmati perlumbaan seperti dahulu, sudah tentu akan timbul persoalan sama ada berbaloi untuk teruskan,” katanya.

Pelumba berusia 29 tahun itu sebelum ini muncul juara dunia dari 2021 hingga 2024, namun gagal mempertahankan kejuaraan musim lalu apabila dirampas oleh Lando Norris dari pasukan McLaren.

Rekod 71 kemenangan perlumbaan yang dimiliki Verstappen ketika ini masih jauh di belakang legenda seperti Lewis Hamilton (105 kemenangan) dan Michael Schumacher (91 kemenangan).

Situasi semasa turut menyaksikan kalendar perlumbaan F1 terganggu apabila beberapa siri di Asia Barat dibatalkan, menyebabkan saingan berehat selama sebulan sebelum bersambung di Grand Prix Miami pada 3 Mei depan.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN