PETALING JAYA: UMW Toyota Motor (UMWT) mencatatkan jualan sebanyak 4,856 unit pada Februari 2026, sekali gus membawa jumlah jualan terkumpul setakat tahun ini (YTD) kepada 9,556 unit.
Prestasi stabil itu mencerminkan permintaan berterusan terhadap model teras syarikat, disokong oleh barisan produk yang diperkukuh serta rangkaian pengedar dan perkhidmatan selepas jualan Toyota di seluruh negara.
Presiden UMWT, Datuk Ravindran K. berkata, momentum awal tahun ini didorong oleh pengembangan portfolio kenderaan elektrik hibrid (HEV) syarikat yang kini merangkumi pelbagai segmen pasaran melalui strategi Multi-Pathway.
“Pendekatan ini memastikan pelanggan tidak terhad kepada satu penyelesaian sahaja. Dengan memperluaskan pilihan hibrid daripada segmen sedan hingga ke SUV dan MPV, kami menyediakan pilihan elektrifikasi praktikal yang disokong oleh ekosistem pemilikan yang dipercayai,” katanya dalam kenyataan.
Antara model utama yang memacu elektrifikasi UMWT termasuklah Vios Hybrid dan Vios HEV GR Sport bagi segmen-B, serta Corolla Cross HEV GR Sport yang diperbaharui untuk segmen SUV-C.
Bagi kategori premium pula, Toyota memperkenalkan Vellfire HEV dalam kelas MPV mewah dan Harrier HEV bagi segmen SUV-D untuk pelanggan yang menginginkan pengalaman pemanduan lebih eksklusif dan cekap tenaga.
Dalam pada itu, UMWT turut memperkukuh rangkaian servisnya dengan pembukaan rasmi Pusat 4S Prima Pearl di Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 9 Februari lalu.
“Fasiliti bersepadu itu menggabungkan operasi Jualan, Servis serta Ketuk dan Cat di bawah satu bumbung bagi kemudahan pelanggan di wilayah utara.
“Bagi meringankan beban pemilikan, syarikat meneruskan program seperti Toyota Service Savers dengan penyelenggaraan rutin serendah RM31 sebulan serta jaminan tambahan melalui Toyota Extend,” katanya.
Menjelang sambutan Hari Raya, UMWT turut menawarkan pakej pembiayaan menarik untuk model terpilih dengan nilai tawaran sehingga RM7,500 dan ansuran bulanan bermula dari RM658.
“Apabila kenderaan berprestasi secara konsisten dan disokong dengan baik, pemandu boleh fokus kepada perjalanan di hadapan dengan lebih yakin,” tambahnya. – utus










