KUALA LUMPUR: UMNO tidak perlu melayan mana-mana pemimpin atau parti politik yang terus berprasangka negatif terhadap usaha penyatuan Melayu dan Islam yang digerakkan parti itu melalui inisiatif Rumah Bangsa.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, UMNO perlu memberikan sepenuh perhatian kepada usaha untuk menyatukan kembali parti politik Melayu.
“Kalau ada parti-parti Melayu lain yang tidak mahu sertai, kita tidak boleh paksa. Jika mereka tidak mahu masuk, tidak perlu bergaduh.
“Kalau mereka menentang kita atau mengkritik, biarlah, jangan diambil hati,” katanya kepada pemberita pada Program Sumbangan Aidilfitri 2026 di Padang Blok B7, Desa Pandan, hari ini.
Johari berkata, Rumah Bangsa tidak mempunyai tempoh tertentu dan terpulang kepada mana-mana pihak untuk kembali atau menyertai UMNO.
“Tidak perlu ada tempoh tertentu. Kita mahu menjemput orang masuk. Jika dia memilih untuk tidak masuk atau mahu menunggu pilihan raya akan datang, terpulang kepada mereka. Mungkin ada syarat lain, itu kena tanya Presiden UMNO.
“Politik adalah terbuka dan tidak boleh mudah membuat prasangka. Ada yang menyertai parti lain tetapi undi mereka masih boleh menyokong kita, begitu juga sebaliknya. Jadi, jangan mudah membuat prasangka,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Pas tidak bersedia untuk menyertai gagasan Rumah Bangsa yang ditawarkan UMNO kerana menyifatkan platform tersebut seolah-olah berada di bawah bumbung yang tidak selamat.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, keadaan itu diibaratkan seperti berteduh di bawah payung buruk yang sudah rosak dan tidak mampu menahan hujan lebat selain mempunyai besi-besi tajam yang boleh membahayakan. – UTUSAN










