PETALING JAYA: Ketua jurulatih skuad ragbi tujuh sebelah (7s) negara, Nik Safuan Ismade Nik Man memberi amaran tiada jaminan tempat buat mana-mana pemain untuk mewakili negara ke Sukan Asia pada September depan.
Katanya, meskipun sebahagian besar tonggak berpengalaman dikekalkan, prestasi semasa dan tahap kecergasan akan menjadi penentu utama untuk berada dalam skuad kebangsaan.
“Sekarang ini pemain senior berada sekitar 60 peratus tahap terbaik. Tujuh pemain utama yang beraksi di Sukan SEA lalu memang antara yang terbaik, tetapi saya masih ada lima slot lagi untuk diisi.
“Kita akan lihat sama ada pemain senior atau junior yang layak. Semua bergantung kepada prestasi dan kecergasan mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau menegaskan, senarai panjang seramai 30 pemain dan senarai pendek 21 pemain yang dipilih sebelum ini bukan jaminan mutlak untuk ke temasya itu.
Sebaliknya, pemain yang gagal mengekalkan prestasi atau berdepan kecederaan akan digugurkan serta-merta.
“Kalau cedera, maknanya mereka belum bersedia. Saya akan tolak semula ke senarai panjang dan naikkan pemain lain. Kita akan buat pengiliran, beri peluang kepada semua,” jelasnya.
Sebagai persediaan menghadapi Sukan Asia di Aichi Nagoya pada September ini, skuad negara akan mengharungi beberapa kejohanan termasuk Borneo 7s, Johor 7s, Piala Agong serta siri Asia, selain kemungkinan aksi ujian di Bangkok.
Nik Safuan turut memberi penekanan terhadap pembangunan pemain muda yang disifatkan masih memerlukan pendedahan di pentas antarabangsa.
“Di Malaysia mereka mungkin terbaik, tetapi di peringkat antarabangsa suasananya berbeza. Mereka perlukan lebih banyak pengalaman untuk capai tahap sama seperti pemain senior,” katanya.
Pada Januari lalu, skuad negara muncul juara Kejohanan Tujuh Sebelah Asia Tenggara (SEA 7s) 2026 selepas menewaskan Thailand 10-5 pada aksi final di Stadium Yio Chu Kang, Singapura.-UTUSAN










