Thomas/Uber: Jepun diundi bersama skuad lelaki, wanita

Thomas/Uber: Jepun diundi bersama skuad lelaki, wanita

PEMAIN-Pemain badminton negara bersalaman dengan Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari yang datang melawat skuad badminton negara yang sedang membuat persiapan menjelang Piala Thomas dan Uber.-UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad badminton lelaki kebangsaan diundi bersama Jepun dalam Kumpulan B pada Kejohanan Piala Thomas/Uber 2026 di Horsens, Denmark, bermula 24 April hingga 3 Mei ini.

Turut berada dalam kumpulan tersebut ialah England dan Finland yang sekali gus memberi gambaran perjalanan Malaysia bagi mengharungi cabaran di pusingan awal pada majlis undian yang diadakan di ibu pejabat Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dekat ibu negara, hari ini.

Sasaran sudah tentu menjuarai Kumpulan B dengan Jepun bakal menjadi penghalang terbesar pasukan negara dalam merintis laluan lebih mudah ke suku akhir.

Jepun memiliki pasukan yang agak seimbang di sektor perseorangan dan juga beregu dengan bintang No. 9 dunia, Kodai Naraoka serta gandingan No. 8 dunia, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dijangka mengetuai skuad samurai itu.

Berdepan Jepun yang merupakan pasukan pilihan 3/4, Malaysia tidak boleh kehilangan mata daripada dua beregu dan misi pemain perseorangan pula sekurang-kurangnya memburu satu kemenangan.

Skuad kebangsaan memiliki kekuatan di sektor beregu dengan pasangan No. 2 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan mengetuai cabaran diikuti Man Wei Chong-Tee Kai Wun (No. 6 dunia) dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani (No. 7 dunia).

Bagaimanapun, masih belum ada kata putus mengenai beregu yang akan mengisis posisi No. 2 dan No. 3 dengan pasangan No. 16 dunia, Arif Junaidi-Yap Roy King turut disebut mampu mengisi kedudukan No. 3 jika prestasi mereka lebih baik pada Kejohanan Asia di Ningbo, China, 7-12 April ini.

Pemain No. 23 dunia, Leong Jun Hao dan Justin Hoh yang menghuni ranking ke-38 dunia mungkin mampu menghadirkan kejutan ke atas perseorangan Jepun, manakala, kehadiran bekas bintang No. 2 dunia, Lee Zii Jia juga dilihat berupaya menjadi ‘kuda hitam’ buat Malaysia.

Selain Naraoka, Jepun bakal diperkuatkan dengan kehadiran pemain No. 15 dunia, Kenta Nishimoto, Yuhsi Tanaka (No. 19 dunia) dan Koki Watanabe (No. 21 dunia), manakala, bagi sektor beregu, negara itu juga memiliki pasangan No. 19 dunia, Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita.

China selaku juara bertahan pula diundi di dalam Kumpulan A dengan India, Kanada dan Australia menjadi pencabar mereka, manakala, pilihan kedua, Indonesia berada dalam Kumpulan D besama Perancis, Thailand serta Algeria.

Sementara itu, dalam saingan Piala Uber pula, pasukan wanita Malaysia yang diperkuatkan beregu No. 2 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah juga diundi di dalam Kumpulan B bersama-sama Jepun, Turki dan Afrika Selatan.

Selain Pearly-Thinaah, beregu remaja yang menghuni rangking ke-25 dunia, Ong Xin Yee-Carmen Ting dan pemain perseorangan, K. Letshanaa (No. 36 dunia) serta Wong Ling Ching (No. 37 dunia) bakal menggalas tanggungjawab buat Malaysia.

Berbeza skuad lelaki, pasukan wanita Jepun terlalu kuat buat Malaysia dengan Akane Yamaguchi (No. 4 dunia) dan Tomoka Miyazaki (No. 9 dunia) dijangka menerajui sektor perseorangan, manakala, untuk beregu, Jepun memiliki Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto (No. 6 dunia) dan Rin Iwanaga-Kie Nakanishi (No. 7 dunia).

Misi melangkah ke suku akhir mungkin tidak menjadi masalah buat kedua-dua pasukan negara, namun, perjuangan mereka bakal berliku selepas itu dengan harapan lebih terletak di bahu skuad lelaki. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN