Terengganu pertimbang cadangan lokasi selamat main bunga api

Terengganu pertimbang cadangan lokasi selamat main bunga api

WAN SUKAIRI WAN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri sedia mempertimbang cadangan bersesuaian bagi lokasi selamat untuk bermain bunga api dan mercun pada musim perayaan tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, langkah itu bagi mengelak aktiviti berkenaan dilakukan sewenang-wenangnya di tempat awam.

Katanya, ​ia juga bertujuan melindungi kawasan sensitif seperti hospital, masjid, surau dan kawasan perumahan daripada terganggu dengan permainan bunga api.

“Selain soal lokasi, kita turut mengkaji keperluan untuk memilih jenis mercun dan bunga api yang dibenarkan sahaja boleh digunakan. Pada Ramadan baru-baru ini, kita menerima banyak aduan daripada orang ramai berhubung permainan mercun dan bunga api di tempat awam terutama di kawasan berhampiran hospital, rumah ibadat dan penempatan penduduk.

“Justeru itu, kita akan mene­liti cadangan termasuk mengehadkan jenis bahan yang boleh digunakan selain mengenal pasti kawasan lapang yang sesuai untuk aktiviti tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini.

Wan Sukairi berkata, cada­ngan mewujudkan zon atau kawasan khas itu juga bermatlamat untuk mengawal penggunaan mercun yang menghasilkan bunyi terlalu kuat supaya tidak mengganggu ketenteraman awam.

Antara lokasi tumpuan yang sedang dipertimbang ialah kawasan terbuka yang jauh dari kawasan penempatan padat seperti padang, kawasan rekreasi atau mana-mana lokasi yang mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau berkata, langkah pro­aktif tersebut sangat pen­ting bagi meminimumkan risiko kejadian tidak diingini seperti kebakaran, kecederaan serta gangguan terhadap ketenteraman masyarakat.

“Kita juga akan menilai cadangan menetapkan waktu permainan mercun dan bunga api supaya tidak melebihi pukul 12 tengah malam,” katanya.

Sebelum ini, timbul pelbagai reaksi daripada orang awam berhubung permainan bunga api dan mercun sepanjang Ra­madan lalu yang dikatakan tidak sensitif dengan keadaan sekeli­ling terutama hospital. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×