ALOR SETAR: Takungan air di Empangan Muda kini berada pada paras yang rendah dan membimbangkan apabila hanya merekodkan 10,050 ekar kaki atau sekitar 8.04 peratus setakat hari ini.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Dr. Ismail Salleh berkata, beliau turut meninjau keadaan semasa empangan tersebut bagi melihat tahap simpanan air serta situasi pengairan ketika ini.
Katanya, keadaan itu perlu diberi perhatian serius kerana ia memberi kesan langsung kepada bekalan air terutama bagi kegunaan pengairan sawah padi di kawasan Muda.
“Lebih membimbangkan apabila tiada taburan hujan direkodkan di kawasan tadahan, sekali gus memberi kesan langsung kepada bekalan air untuk kegunaan pengairan sawah.
“Situasi ini menyebabkan peladang perlu bersedia untuk melaksanakan kaedah tabur terus kering sekiranya keadaan berlarutan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, pelbagai usaha telah dilaksanakan sebelum ini termasuk penganjuran solat sunat istisqa’ serta operasi pembenihan awan, namun masih belum membuahkan hasil.
“Insya-Allah kita akan meneruskan usaha dengan mengadakan sekali lagi solat sunat istisqa’ selain membuat permohonan baharu bagi pelaksanaan operasi pembenihan awan.
“Kita akan terus berusaha dan pada masa sama mengajak semua pihak untuk bersama-sama berdoa agar dipermudahkan urusan serta diturunkan hujan,” ujarnya.
Semalam, kedudukan paras air di tiga empangan di bawah seliaan MADA terus menurun dengan jumlah takungan direkodkan pada kadar 484,725 ekar kaki atau 39.63 peratus.
Selain Empangan Muda, jumlah takungan terkini di Empangan Pedu 349,030 ekar kaki (39.89 peratus), manakala Empangan Ahning 121,089 ekar kaki (54.39 peratus). – UTUSAN










