PETALING JAYA: Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Sumali Reduan dilantik sebagai Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia 2026 yang akan berlangsung di Aichi-Nagoya, Jepun dari 19 September hingga 4 Oktober tahun depan.
Pelantikan Sumali yang juga Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Eksekutif OCM Bil. 5 bagi penggal 2025–2029 pada 10 Mac lalu, sebelum mendapat penerimaan serta pengesahan Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari.
Selain Sumali, MOM turut mengumumkan barisan Ketua Kontinjen bagi beberapa temasya sukan berbilang acara lain yang berada di bawah bidang kuasanya.
Datuk Chong Kim Fatt dilantik sebagai Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Pantai Asia 2026 di Sanya, China dari 22 hingga 30 April depan.
Kim Fatt yang juga Naib Presiden OCM merupakan tokoh utama sukan wushu negara serta memegang beberapa jawatan penting di peringkat antarabangsa termasuk Naib Presiden Persekutuan Wushu Asia dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Wushu Antarabangsa.
Sementara itu, Datuk Awalan Abdul Aziz akan mengetuai kontinjen negara ke Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, Scotland yang dijadualkan berlangsung dari 23 Julai hingga 2 Ogos.
Awalan merupakan Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia selain memegang jawatan Presiden Persekutuan Lawn Bowls Asia serta Duta Serantau Asia bagi World Bowls.
Bagi Sukan Olimpik Remaja 2026 di Dakar, Senegal pula, bekas atlet wushu negara, Wong Weng Son diberikan tanggungjawab sebagai Ketua Kontinjen.
Weng Son memiliki rekod cemerlang di pentas antarabangsa termasuk meraih dua pingat emas, lapan perak dan satu gangsa dalam Kejohanan Dunia selain tiga emas dalam Piala Dunia.
Dalam masa sama, dua individu dilantik sebagai Ketua Kontinjen bersama bagi Sukan SEA 2027 di Malaysia iaitu Azizul Annuar Adenan yang mewakili Malaysia Timur dan Datuk Mohamad Iruan Zulkefli bagi Malaysia Barat.
Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata pihaknya merakamkan penghargaan kepada Menteri Belia dan Sukan atas penerimaan serta sokongan terhadap pelantikan tersebut.
“Kami berharap semua Ketua Kontinjen yang dilantik dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan baik bagi memastikan penyertaan kontinjen Malaysia dalam temasya sukan berbilang acara akan datang berjalan lancar serta mencapai kejayaan,” katanya.-UTUSAN










