Suku akhir jadi misi berani Pang Ron-Su Yin di All England

Suku akhir jadi misi berani Pang Ron-Su Yin di All England

Hoo Pang Ron dan Cheng Su Yin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kehangatan pentas berprestij Kejohanan Badminton All England tidak mahu lagi sekadar menjadi pengalaman buat beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin apabila mereka mengintai kemaraan sekurang-kurangnya ke peringkat suku akhir pada edisi kali ini.

Diundi berdepan pasangan India, Dhruv Kapila-Tanisha Crasto, gandingan ranking ke-23 dunia itu sedar laluan bukan mudah, namun enggan lagi pulang awal seperti tahun lalu.

Pada penampilan sulung di kejohanan bertaraf Super 1000 tersebut, mereka terkandas seawal pusingan pertama selepas tewas kepada wakil Korea Selatan, Ki Dong Ju-Jeong Na Eun.

Pengalaman pahit itu menjadi pembakar semangat buat Pang Ron-Su Yin untuk tampil dengan mentaliti berbeza, apatah lagi kejohanan berkenaan sentiasa menjadi tumpuan dunia sebagai antara gelanggang paling berprestij dalam kalendar Jelajah Dunia.

Su Yin berkata, sasaran ke suku akhir bukan sekadar angan-angan, sebaliknya misi realistik yang perlu disertai dengan keberanian dan keyakinan penuh di dalam gelanggang.

“Ini penampilan kedua kami di All England dan kali ini kami memang meletakkan sasaran untuk mara ke suku akhir. Kami akan berbincang dan rancang apa yang perlu dilakukan untuk capai sasaran itu.

“Apa yang paling penting, kami kena keluarkan permainan sebenar tanpa rasa takut apabila melangkah masuk ke gelanggang kerana di tahap ini semua pasangan kuat,” kata Su Yin.

Dalam masa sama, pemain kelahiran Alor Setar itu mengakui aspek keyakinan diri yang pernah menghantuinya kini semakin pulih hasil sokongan berterusan barisan kejurulatihan yang tidak jemu memberi dorongan dan motivasi menjelang cabaran besar tersebut.

“Memang perkara itu sudah mula diatasi secara perlahan-lahan kerana jurulatih memang ada membantu saya. Mereka sentiasa memberikan motivasi kepada saya untuk terus menampilkan aksi terbaik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN