Stadium Juara sesuai dijadikan pusat latihan kedua

Stadium Juara sesuai dijadikan pusat latihan kedua

MENTERI Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari (tengah) bergambar bersama sebahagian pemain badminton kebangsaan ketika mengadakan lawatan ke kem latihan skuad Piala Thomas di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara di sini, hari ini.-UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah pun mengadakan rundingan bersama Perbadanan Stadium Nasional (PSM) berhubung penambahan gelanggang di Stadium Juara, Bukit Kiara dekat sini, untuk dijadikan sebagai fasiliti latihan buat pemain badminton kebangsaan.

Menterinya, Dr. Muhammed Taufiq Johari berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan jawatankuasa Persatuan Badminton Malaysia (BAM), dua minggu lepas.

“Stadium tersebut sangat berdekatan, jadi dari segi logistik dan masa, ia dapat menjimatkan banyak perkara. Saya telah memanggil PSM untuk berbincang.

“Insya-Allah selepas raya ini kita akan melihat keputusan terbaik untuk memastikan fasiliti tersebut dapat digunakan oleh atlet kita,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini, semalam.

Sebelum ini, BAM ada mengemukakan permohonan bagi menambah pusat latihan pemain kebangsaan yang kini terlalu padat di ABM dan satu lokasi baharu dipohon badan induk itu bagi menyelesaikan isu tersebut.

Sementara itu, sewaktu ditanya pula mengenai penyertaan skuad kebangsaan ke Piala Thomas/Uber di Horsens Denmark pada 24 April-3 Mei ini, beliau berharap, barisan pemain negara yang akan beraksi pada kejohanan berprestij itu tidak meletakkan diri masing-masing berada di dalam zon yang terlalu selesa.

“Bagi saya prestasi sekarang cukup baik, tetapi kita tidak boleh selesa. Kita perlu pastikan sokongan berterusan daripada KBS dan BAM diselaraskan dengan baik.

“Tidak lama lagi Piala Thomas dan saya sangat optimis kita mampu mencapai kejayaan besar dengan kerjasama semua pihak,” ujarnya.

Mohammed Taufik turut menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar memberikan sokongan padu kepada skuad badminton kebangsaan yang akan beraksi pada kejohanan itu.

“Saya harap rakyat terus memberi sokongan positif dan elakkan komen-komen negatif yang boleh memberi kesan kepada mental atlet.

“Semangat rakyat Malaysia adalah nadi utama untuk kejayaan mereka mengembalikan kegemilangan badminton negara,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN