Sri Lanka tolak akses pesawat perang AS

Sri Lanka tolak akses pesawat perang AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

COLOMBO: Sri Lanka enggan memberi kebenaran kepada Amerika Syarikat (AS) untuk menempatkan dua pesawat perangnya di lapangan terbang awam di bahagian selatan pulau itu pada awal Mac.

Menurut kenyataan Presiden Anura Kumara Dissanayake di Parlimen semalam, Washington dikatakan ingin memindahkan dua pesawat bersenjata peluru berpandu dari pangkalan di Djibouti ke Lapangan Terbang Antarabangsa Mattala di Sri Lanka.

Permintaan itu, yang dibuat pada 26 Februari, ditolak bagi mengekalkan dasar berkecuali Colombo serta memastikan wilayahnya tidak digunakan untuk tujuan ketenteraan yang boleh memberi manfaat atau menjejaskan mana-mana pihak, katanya.

Negara di Lautan Hindi itu terjerumus dalam kesan perang apabila sebuah kapal selam AS menembak torpedo ke atas frigat Iran, IRIS Dena, berhampiran pantainya pada Mac.

“Mereka mahu menempatkan dua pesawat perang bersenjata lapan peluru berpandu anti-kapal di Lapangan Terbang Antarabangsa Mattala dari 4 hingga 8 Mac, dan kami berkata ‘tidak’,” kata Dissanayake.

Beliau tidak mendedahkan sama ada permintaan AS itu bertujuan menggunakan Sri Lanka sebagai pangkalan untuk melancarkan sebarang tindakan serangan terhadap Iran.

Sumber tentera Sri Lanka memberitahu AFP negara itu tidak akan membenarkan ruang udaranya digunakan untuk melancarkan serangan terhadap mana-mana negara lain, selaras dengan dasar luar pulau itu.

Dissanayake berkata, Iran juga membuat permintaan bagi persinggahan tiga kapal perang mereka, yang pulang dari latihan tentera laut di India, pada hari yang sama AS meminta kebenaran untuk menempatkan dua pesawatnya.

“Kami masih menimbang permintaan Iran untuk membawa tiga kapal itu ke Colombo dari 9 hingga 13 Mac. Sekiranya kami berkata ‘ya’ kepada Iran, kami juga terpaksa berkata ‘ya’ kepada AS.

“Namun, kami tidak melakukannya. Kami berpegang teguh pada dasar berkecuali. Kami tidak akan tunduk kepada tekanan mana-mana pihak,” katanya yang disambut dengan tepukan oleh 225 anggota Parlimen.

Serangan AS ke atas IRIS Dena pada 4 Mac mengorbankan sekurang-kurangnya 84 anak kapal, yang mayat mereka telah dipulangkan ke Iran.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN