BUKIT MERTAJAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar tindakan segelintir pihak yang mempolitikkan isu kenaikan harga minyak global dengan menyalahkan kerajaan, sedangkan krisis tersebut berpunca daripada konflik antarabangsa di luar kawalan negara.
Anwar berkata, dalam keadaan dunia berdepan ketegangan geopolitik termasuk krisis di Asia Barat, masih terdapat pihak yang terus menuding jari kepada kerajaan tanpa memahami realiti sebenar situasi global.
“Ada orang guna kesempatan ini dalam keadaan ekonomi jatuh, minyak tersekat. Bukan salah kita, tetapi masih ada lagi beberapa orang pembangkang maki hamun kita dalam keadaan sekarang.
“Dunia politik ini perlu terkawal dan sepatutnya semua pakat mencari penyelesaian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Santai Akhir Ramadan Bersama Pimpinan Komuniti Permatang Pauh di Dewan Orang Ramai Permatang Pasir di sini hari ini.
Beliau berkata, ketegangan yang semakin memuncak termasuk serangan melibatkan Iran serta tindakan balas menggunakan peluru berpandu dan dron menjejaskan kemudahan serta laluan minyak dan gas termasuk di Selat Hormuz, sekali gus menyebabkan harga minyak dunia meningkat mendadak. – UTUSAN










