PETALING JAYA: Ketua jurulatih skuad hoki Wanita negara Nasihin Nubli Ibrahim mengakui terpaksa akur dengan kekalahan 5-0 di tangan Ireland dalam aksi pertama Kumpulan B kelayakan Piala Dunia 2026 di Santiago, Chile, semalam.
Nasihin berkata, dia tidak meletakkan harapan tinggi untuk perlawanan itu kerana menyedari kekuatan pasukan lawan yang lebih mantap.
“Kita bermula dengan baik lawan Ireland. Sudah kita jangkakan bahawa Ireland pasukan yang kuat mantap dan matang namun begitu kita telah mengekang mereka.
“Bagaimanapun, kekurangan disiplin daripada segi taktikal dan teknikal telah menyebabkan mereka menghukum pasukan kita,” katanya.
Malaysia dijadual bertemu Kanada, esok dalam aksi kedua kumpulan dan Nasihin berkata, dia telah mengkaji corak permainan lawan dan berharap pemainnya dapat beraksi dengan penuh keyakinan.
“Kanada pasukan yang mantap tetapi kita tidak akan memberi ruang kepada mereka. Pemain kena turun dengan lebih berkeyakinan dan saya menuntut agar pemain berikan yang terbaik,” katanya. – UTUSAN











