PETALING JAYA: Skuad hoki kebangsaan terpaksa akur dengan kekalahan 4-5 kepada Jepun dalam aksi penentuan tempat ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 di Ismailia, Mesir, hari ini.
Walaupun menamatkan kempen kelayakan di tempat keempat namun skuad kendalian Sarjit Singh itu tetap mara ke pusingan akhir Piala Dunia 2026 di Belanda dan Belgium pada Ogos ini.
Berdasarkan kedudukan ranking Speedy Tigers di tempat ke-15 muncul pasukan keempat terbaik dalam dua kempen kelayakan yang diadakan di Mesir dan Chile.
Satu lagi aksi penentuan tempat ketiga dan keempat membabitkan Wales bertemu Poland namun mengikut kedudukan ranking, Wales berada di tangga ke-16 manakala Poland di tempat ke-20.
Terdahulu, Jepun berada di depan pada minit ke-15 menerusi jaringan padang Ooka Ryoma sebelum Mohd Fitri Saari menyamakan kedudukan 15 minit kemudian.
Pertahanan negara, Marhan Mohd Jalil dan Syed Syafiq Syed Cholan meletakkan Malaysia di depan.
Bagaimanapun, namun kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Matsumoto Kazumasa, Fujishima Raiki masing-masing menjaringkan satu gol sebelum Yamasaki Koji meledak dua gol menjadikan kedudukan 5-3.
Gol keempat pasukan negara diperoleh menerusi pukulan sudut penalti Faizal Saari seminit sebelum tamat permainan. – UTUSAN










