Speedy Tigers bermula garang, benam Austria 6-1

Speedy Tigers bermula garang, benam Austria 6-1

KAPTEN Speedy Tigers, Marhan Jalil berjaya menyekat kemaraan pemain Austria pada aksi pertama Kumpulan B Kelayakan Piala Dunia 2026.-IHSAN FIH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad hoki lelaki kebangsaan memulakan kempen kelayakan Piala Dunia dengan langkah kanan apabila membelasah Austria 6-1 dalam aksi Kumpulan B, sebentar tadi.

Kemenangan bergaya itu mengesahkan status Speedy Tigers sebagai antara pencabar utama, sekali gus memberi amaran awal kepada pasukan lain dalam saingan kali ini.

Bagaimanapun, anak buah Sarjit Singh terlebih dahulu dikejutkan seawal minit ketiga menerusi pukulan penalti strok yang disempurnakan Fulop Losonci.

Tersentak dengan gol awal tersebut, Malaysia tidak menunggu lama untuk bangkit. Corak permainan lebih agresif dan tersusun menyaksikan tekanan demi tekanan dilancarkan ke kubu Austria.

Usaha berterusan itu akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-24 apabila Azrai Aizad Abu Kamal menyamakan kedudukan menerusi jaringan padang, sebelum Shello Silverius meletakkan negara di hadapan hasil gerakan kemas yang memukau.

Memasuki suku ketiga, Malaysia terus mengasak dan Norsyafiq Sumantri menambah gol ketiga menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-34. Azrai Aizad kemudian mencetak gol kedua peribadi 10 minit selepas itu untuk melebarkan jurang.

Austria yang semakin tertekan gagal mengekang kebangkitan Speedy Tigers apabila Akhimullah Anuar Esook meledak gol kelima pada minit ke-52, sebelum Marhan Jalil melengkapkan kemenangan besar menerusi satu lagi pukulan sudut penalti pada minit ke-57.

Kemenangan itu bukan sahaja menghadiahkan tiga mata berharga, malah menyuntik keyakinan tinggi menjelang baki saingan kumpulan.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B bakal menentang Pakistan esok sebelum melengkapkan aksi peringkat kumpulan berdepan China pada Rabu ini. Mengikut format pertandingan, dua pasukan terbaik setiap kumpulan mara ke separuh akhir manakala pemenang peringkat empat terbaik akan beraksi di final.

Sementara itu, Sarjit mengingatkan anak buahnya agar tidak leka meskipun memulakan kempen dengan kemenangan besar, sebaliknya mereka perlu terus memperkemas aspek penyudah menjelang pertemuan menentang Pakistan esok.

“Semua pemain bermain dengan baik walaupun pada awalnya kita ketinggalan 1-0. Kita cipta banyak peluang dan berjaya menjaringkan gol.

“Kami perlu memulakan permainan dengan baik dan memastikan pertahanan yang kukuh. Kami juga perlu memastikan setiap peluang disempurnakan dengan baik untuk menghasilkan gol.

“Kami juga perlu menghasilkan gol seperti dilakukan hari ini, memanfaatkan peluang yang ada dan menguasai perlawanan. Itulah yang kami lakukan. Kami mempunyai pasukan yang baik dan para pemain beraksi cemerlang,” katanya selepas perlawanan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN