PETALING JAYA: Skuad futsal kebangsaan di bawah kendalian Addie Azwan membuat perubahan besar menjelang Kejuaraan Futsal ASEAN 2026 yang berlangsung di Bangkok, Thailand, April ini.
Daripada 14 pemain yang mewakili Malaysia di Piala Asia Futsal 2026 di Jakarta, Indonesia, Januari lalu, hanya Aidil Zakwan Zaidi dikekalkan dalam senarai utama, manakala Syed Shahrul Niezam Syed Abd Rahim diletakkan dalam senarai bersedia.
Selebihnya pemain-pemain dalam pasukan merupakan muka-muka baharu, termasuk sembilan pemain muda berusia 19 hingga 23 tahun dan seorang pemain senior, Mohd Shamsuri Saleh, berusia lebih 30 tahun.
Addie Azwan menegaskan bahawa fokus kini adalah kepada persiapan intensif dan memberikan peluang kepada pemain muda untuk menimba pengalaman serta membina keserasian sebagai satu pasukan menjelang kejohanan akan datang.
“Kami mahu kombinasi pengalaman dan tenaga muda memberi nafas baharu kepada pasukan. Setiap pemain diberi peluang untuk menunjukkan kemampuan dan memahami peranan masing-masing sebelum menghadapi lawan-lawan sengit seperti Indonesia dan Australia,” katanya.
Skuad futsal negara akan menjalani latihan pusat selama 10 hari di Arena Futsal FAM, Kelana Jaya dari 25 Mac hingga 3 April ini sebelum berlepas ke Bangkok pada 4 April untuk mengharungi kejohanan itu.
Kejuaraan Futsal ASEAN 2026 menampilkan lapan pasukan, dengan Thailand sebagai tuan rumah diundi dalam Kumpulan A bersama Vietnam, Myanmar dan Timor-Leste.
Malaysia berada dalam Kumpulan B yang dianggap lebih sengit bersama juara bertahan Indonesia, Australia dan Brunei, selepas Kemboja menarik diri.
Malaysia akan memulakan kempen dengan menentang Australia pada Isnin, 6 April, diikuti aksi kedua menentang Indonesia pada Selasa, 7 April, dan menamatkan saingan peringkat kumpulan menentang Brunei pada Rabu, 8 April.
Sekiranya muncul juara atau naib juara kumpulan, pasukan negara akan beraksi di separuh akhir pada 10 April, sebelum perlawanan final dan penentuan tempat ketiga pada 12 April.
Sebagai rekod, Harimau Malaya pernah lima kali muncul naib juara pada 2003, 2005, 2010, 2017 dan 2018, manakala lima kali menamatkan saingan di tempat ketiga iaitu pada 2001, 2007, 2008, 2015 dan 2016.
Edisi terakhir pada 2024 di Korat, Thailand menyaksikan Malaysia gagal melangkah ke separuh akhir apabila menamatkan Kumpulan A di tangga ketiga di belakang Vietnam dan Thailand.-UTUSAN










