Sivasangari iringi tiga lagi wakil negara ke suku akhir Terbuka Australia

Sivasangari iringi tiga lagi wakil negara ke suku akhir Terbuka Australia

SIVASANGARI diletakkan sebagai pilihan pertama dan mudah melepasi halangan peringkat 16 terbaik pada Terbuka Australia di Brisbane, Australia, hari ini. -IHSAN Instagram Sivasangari
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain skuasy No. 1 negara, S. Sivasangari menempah slot suku akhir selepas menundukkan wakil England, Grace Gear pada peringkat 16 terbaik Kejohanan Skuasy Terbuka Australia di Brisbane, Australia, hari ini.

Anak jati Sungai Petani, Kedah itu yang diletakkan sebagai pilihan pertama hanya mengambil masa selama 24 minit untuk membenam Gear yang menghuni ranking ke-39 dunia 11-4, 11-3, 11-7.

Esok, bintang No. 6 dunia itu bakal berdepan rakan senegara, Aira Azman bagi merebut tempat ke separuh akhir.

Aira pula yang merupakan pemain No. 22 dunia dipaksa bekerja keras sebelum meraih kemenangan ke atas wakil Hong Kong, Tomato Ho 11-4, 12-10, 8-11, 5-11, 11-6 dalam masa 44 minit.

Seorang lagi wakil negara, Aifa Azman yang berada di tangga ke-28 dunia melakar kemenangan straight set ke atas Marie Stephan dari Perancis 11-9, 11-9, 11-4 dalam masa 31 minit.

Pada suku akhir, Aifa akan mengharungi laluan lebih getir menentang pemain No. 12 dunia, Nele Gillis dari Belgium.

Sementara itu, bagi saingan perseorangan lelaki, pemain No. 19 dunia, Ng Eain Yow mengetepikan Matias Knudsen dari Colombia 11-6, 11-5, 11-6 dalam masa 35 minit.

Bagaimanapun, Eain Yow bakal berdepan pencabar yang lebih kuat apabila dijadual bertemu bintang No. 9 dunia, Mohamad Zakaria dari Mesir di suku akhir.

Anak kelahiran Kuala Lumpur itu yang mengalami kejatuhan ranking perlu memperbaiki prestasi semasanya jika berhajat untuk kembali ke kedudukan lebih baik dan pastikan mampu mara lebih jauh melepasi suku akhir.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN