PETALING JAYA: Dua pemain negara, Darren Pragasam dan K. Sehveetrraa merangkul gelaran pada Kejohanan Trofi Presiden Persatuan Skuasy Negeri Sembilan (PSNS) di Seremban, Negeri Sembilan, semalam.
Dalam perlawanan akhir perseorangan lelaki, Darren berjaya mengetepikan wakil Mesir, Ziad Ibrahim menerusi kemenangan straight set 11-6, 11-7, 11-6.
Untuk final perseorangan wanita pula, Sehveetrraa membenam rakan senegara, Wong Heng Wai dalam pertarungan sengit yang diheret sehingga ke set penentuan 11-4, 11-13, 11-8, 10-12, 11-6.
Sehveetrraa yang kini berada di ranking ke-96 dunia menyifatkan kejayaan merangkul gelaran pada kejohanan itu cukup manis kerana ia merupakan kemenangan sulungnya di tanah air sendiri.
“Ini satu kemenangan yang amat istimewa buat saya kerana ini merupakan gelaran pertama saya di tanah air dan saya juga beraksi menentang rakan senegeri saya dari Kedah.
“Selepas ini, saya akan ke Terengganu pula menyertai kejohanan di sana,” katanya di sini, semalam.
Mengulas lanjut mengenai kemenangannya itu, anak jati Alor Setar, Kedah berusia 19 tahun tersebut memberitahu, dia menjangkakan kedudukan ranking dunianya akan melonjak naik ke dalam kelompok 80 terbaik selepas merangkul gelaran di Negeri Sembilan.
Jelasnya, dia amat berharap dapat mengekalkan rentak kemenangannya itu pada pertandingan di Terengganu nanti.
“Tetapi dalam Jelajah di Terengganu laluan saya dijangka lebih sukar memandangkan lebih ramai pemain Mesir dan negara lain bakal menyertai kejohanan itu,” ujarnya. – UTUSAN










