MIAMI: Pemain No.2 Dunia, Jannik Sinner membuktikan statusnya sebagai antara bintang paling konsisten apabila menewaskan Jiri Lehecka 6-4, 6-4 untuk menjuarai Terbuka Miami, semalam.
Kejayaan itu melengkapkan “Sunshine Double” buat kali pertama dalam kariernya selepas turut menjuarai Indian Wells, sekali gus mengulangi pencapaian legenda Switzerland, Roger Federer pada 2017.
Lebih manis, pemain Itali itu melakar sejarah sebagai individu pertama memenangi kedua-dua kejohanan gelanggang keras elit di California dan Florida tanpa kehilangan satu set pun.
Perlawanan akhir bagaimanapun tidak berjalan lancar apabila terganggu hujan sebelum dan semasa aksi, termasuk penangguhan lebih sejam serta satu lagi hentian selama 90 minit selepas set pertama.
Namun, situasi itu langsung tidak menggugat rentak Sinner yang tampil dominan dengan 10 ace selain memenangi 33 daripada 36 mata menerusi servis pertama.
“Ia sangat bermakna buat saya. Melengkapkan Sunshine Double buat kali pertama adalah sesuatu yang luar biasa.
“Saya tidak menjangkakannya kerana ia amat sukar, tetapi kami berjaya melakukannya dan saya sangat gembira,” kata Sinner.
Kejayaan itu turut menyaksikan Sinner mengungguli tiga gelaran Masters 1000 berturut-turut, bermula dengan kemenangan di Paris tahun lalu, sekali gus memberi amaran awal menjelang musim gelanggang tanah liat.
Dalam perkembangan sama, kemenangan Aryna Sabalenka yang menewaskan Coco Gauff menjadikan 2026 sebagai tahun pertama sejak 2016 menyaksikan kedua-dua kategori lelaki dan wanita menyapu bersih Indian Wells dan Miami.
Kali terakhir pencapaian itu dilakar adalah menerusi Novak Djokovic dan Victoria Azarenka.- AGENSI










