TEHERAN: Perang antara Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran memasuki bulan kedua pada Sabtu, dengan negara-negara Teluk terus menjadi sasaran serangan peluru berpandu.
Tentera Israel pula terus meningkatkan serangan ke atas Iran, ketika Washington menyuarakan harapan untuk kemajuan rundingan dengan Teheran.
Dalam perkembangan terbaharu, tentera Israel mendakwa memintas peluru berpandu yang dilancarkan dari Yemen, susulan ancaman kumpulan Houthi untuk campur tangan.
Konflik tercetus pada 28 Februari lalu apabila AS dan Israel melancarkan serangan udara ke seluruh Iran, yang mengorbankan pemimpin tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei.
Perang tersebut tidak menunjukkan tanda-tanda akan berakhir, dengan Israel melaporkan serangan baharunya ke atas Teheran.
Wartawan AFP di bandar itu melaporkan kira-kira 10 letupan kuat dan kepulan asap hitam.
Pihak berkuasa Emiriah Arab Bersatu (UAE) berkata, serpihan daripada peluru berpandu yang dipintas mencetuskan kebakaran di kawasan perindustrian Abu Dhabi, mencederakan lima warga India.
Arab Saudi pula berjaya memintas peluru berpandu dan beberapa dron, manakala Bahrain mendakwa kebakaran yang disebabkan ‘serangan Iran’ berjaya dikawal.
Di Israel, siren amaran serangan udara berulang kali memaksa penduduk berlindung termasuk di Tel Aviv, di mana seorang lelaki terbunuh dan dua lagi cedera.
Di utara negara itu, media melaporkan serangan serentak daripada Iran dan sekutunya di Lubnan, Hizbullah.
Serangan peluru berpandu dan dron Iran ke atas Pangkalan Udara Prince Sultan di Arab Saudi mencederakan sekurang-kurangnya 12 askar AS, dua daripadanya dilaporkan parah, menurut laporan The New York Times dan The Wall Street Journal yang memetik pegawai.
Utusan khas Trump, Steve Witkoff berkata pada Jumaat, beliau percaya Iran akan bersetuju untuk mengadakan rundingan dengan Washington ‘minggu ini’.
Bercakap kepada forum perniagaan di Miami kelmarin, beliau berkata, Washington menjangkakan Teheran akan memberi tindak balas terhadap pelan damai 15 perkara yang dikemukakan AS.











