Johor guna Smart CCTV pantau aktiviti buang sampah kecil

Johor guna Smart CCTV pantau aktiviti buang sampah kecil

MOHD. JAFNI Md. Shukor melihat pelaksanaan hukuman Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) di Kampung Senibong, Plentong, Johor Bahru hari ini. - UTUSAN/MOHAMAD FAIZAL HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri akan mengoptimumkan penggunaan kira-kira 1,500 kamera litar tertutup (CCTV) pintar di kawasan Greater Johor Bahru (JB) bagi meningkatkan pemantauan kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, rakaman CCTV itu boleh dijadikan bukti untuk mendakwa individu yang melakukan kesalahan tersebut.

“Greater JB melibatkan kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) telah dilengkapi dengan kira-kira 1,500 Smart CCTV.

“Kita akan bantu SWCorp memperkasa pemantauan kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam khususnya di kawasan tumpuan pelancong. Kita lihat tindakan hukuman PKM ini sebagai tindakan yang berkesan,” katanya selepas meninjau pelaksanaan hukuman Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) di Kampung Senibong, Plentong di sini hari ini.

Hukuman tersebut menyaksikan seramai lima individu termasuk dua warganegara asing diperintahkan menjalani hukuman PKM antara empat hingga lapan jam selain denda antara RM500 hingga RM1,000.

Tambah Mohd. Jafni, sebanyak 142 notis pemberitahuan kesalahan telah dikeluarkan di negeri ini atas kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam melibatkan 84 warga tempatan dan 58 warganegara asing, setakat ini.

“Tujuh kes telah selesai didakwa di mahkamah dengan jumlah keseluruhan denda terkumpul sebanyak RM4,500 serta hukuman PKM.

“Kita sudah buat pelbagai inisiatif termasuk Kempen Johor Bersih yang dilancarkan pada Julai 2022, namun kita lihat masih lagi ada yang suka buang sampah merata-rata dan mengotorkan kawasan sekitar yang telah dibersihkan.

“Jadi, kita menyokong tindakan perintah khidmat masyarakat ini. Ia memberi mesej jelas bahawa kesalahan membuang sampah kecil termasuk puntung rokok tidak akan dipandang ringan,” katanya lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN