PETALING JAYA: Selangor FC hampir dikejutkan pada penghujung permainan sebelum berjaya mempertahankan kelebihan untuk menewaskan Kuala Lumpur (KL) City 3-2 dalam aksi panas ‘Derbi Lembah Klang’ di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, sebentar tadi.
Kemenangan dramatik itu menyaksikan Selangor kembali memintas Kuching City untuk menduduki tangga kedua Liga Super dengan kelebihan dua mata, walaupun wakil Borneo berkenaan masih mempunyai satu perlawanan dalam tangan.
Bagi KL City pula, kekalahan tersebut sedikit menjejaskan usaha mereka untuk terus memberi tekanan dalam perebutan tempat kedua apabila kekal di kedudukan keempat dengan 39 mata.
Pada aksi itu, Selangor hampir membuka tirai jaringan seawal minit keempat apabila Hugo Boumous berjaya melepasi penjaga gol KL City, Quincy Julian Kaammeraad namun tindakan pantas Declan Lambert menghalang percubaan itu.
Tuan rumah akhirnya berjaya mendahului pada minit ke-10 menerusi gerakan lincah Faisal Halim yang melepaskan rembatan kencang untuk menewaskan Quincy bagi meletakkan Selangor di depan.

KL City hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-23 menerusi serangan balas pantas, namun penjaga gol Selangor, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi cemerlang menafikan percubaan Victor Ruiz.
Selangor kemudian menggandakan kelebihan pada minit ke-64 melalui jaringan Mamadou Diarra, namun gol tersebut hanya disahkan selepas pengadil, Tuan Mohamad Yaasin Tuan Mohd Hanafiah membuat semakan menerusi Video Bantuan Pengadil (VAR).
Tidak lama kemudian, Boumous menambah gol ketiga Selangor pada minit ke-69 menerusi serangan balas pantas sebelum KL City merapatkan jurang menerusi Madger Antonio Gomes yang meledak seminit selepas itu.
Kedudukan semakin mendebarkan apabila Safawi Rasid menjaring gol kedua buat KL City pada minit ke-84 selepas disahkan VAR.
Tuan rumah terus memberi tekanan terhadap Selangor, namun skuad kendalian Kim Pan Gon berjaya bertahan sehingga wisel penamat untuk membawa pulang tiga mata penting.-UTUSAN










