Pan Gon pacu kebangkitan Selangor

Pan Gon pacu kebangkitan Selangor

KIM PAN GON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengendali Selangor FC, Kim Pan Gon memasang impian untuk mengembalikan zaman kegemilangan Gergasi Merah dalam kancah Liga Malaysia (Liga M).

Keyakinan itu hadir selepas jurulatih kelahiran Korea Selatan itu melakar rekod bersih bersama Selangor dengan meraih sembilan kemenangan dalam 11 perlawanan.

Impak positif yang dibawa bekas pengendali Harimau Malaya itu juga membantu Gergasi merah mara ke separuh akhir Piala Malaysia dan Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) musim ini.

Pada separuh akhir Piala Malaysia, anak buah Pan Gon akan berdepan Kuching City FC pada April ini dan akan berdepan wakil Vietnam, Thep Xanh Nam Dinh FC di separuh akhir ACC.

Menurut Pan Gon, kecemerlangan Selangor bukan hadir menerusi dirinya semata-mata, sebaliknya sokongan pemain dan kelab turut memainkan peranan besar sejak ketibaannya.

“Saya bertuah kerana pemain dan kelab memberi sokongan penuh kepada saya. Kadang kala tuah juga berpihak kepada kita selain persaingan membantu kita menjadi lebih kuat.

“Jadi kita cuba untuk mengembalikan sejarah kegemilangan Selangor, tetapi saya rasa kita belum kuat 100 peratus dan kita cuba sedikit demi sedikit untuk mencipta kekuatan ini.

“Mungkin kita akan tewas satu hari nanti tetapi apa yang sudah kita raih setakat ini adalah satu motivasi yang baik dan meningkatkan keyakinan pemain,” kata Pan Gon.

Kemenangan ke atas Imigresen FcC dalam aksi minggu lalu di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyaksikan Selangor kembali tangga kedua Liga Super dengan 39 mata selepas 19 perlawanan.

Dua gol daripada Chrigor Moraes, Ahmad Zikri Khalili dan Jose Vitor Rodrigues memastikan Selangor berkelebihan empat jaringan mengatasi Kuala Lumpur City (KL City) FC selepas masing-masing berkongsi 39 mata.

Perebutan naib juara kita tertumpu kepada tiga pasukan iaitu Selangor, KL City FC dan juga Kuching City FC dengan ketiga-tiga pasukan itu tidak boleh tercicir sebarang mata dalam baki saingan Liga Super. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN