SEPANG: Seorang pengamal perubatan swasta tidak menyangka pengalaman ‘dievakuasi’ ketika berdepan konflik di negara asing turut dirasai sendiri oleh ibu bapanya.
Dr Nurushifa Shopuan Anuar, 35, ketika ditemui berkata, dia mengakui pernah trauma selepas menjadi antara salah seorang pelajar Malaysia yang berdepan situasi evakuasi ketika Ops Piramid oleh Malaysia susulan pergolakan politik di Mesir pada 2011.
Katanya, di tidak menyangka ibu bapanya serta ibu saudaranya turut berdepan proses evakuasi sama selepas mereka terkandas di Qatar, Turki sejak 28 Februari lalu akibat krisis dan konflik Iran – Amerika Syarikat.
“Saya pernah lalui pengalaman evakuasi ketika Ops Piramid pada 2011 dan saya bimbang situasi sama akan menimpa mereka. Alhamdulillah, mereka selamat dan ditempatkan lokasi yang selamat dan selesa,” katanya.
Ibu dan bapa Nurushifa iaitu, Nurhasima Che Hassan, 62, dan Shopuan Anuar, 62, serta ibu saudaranya, Noraziah Che Hassan, 70, adalah antara 163 rakyat Malaysia yang tiba di tanah air tengahari tadi menerusi penerbangan khas dari Zon Konflik Asia Barat.
Nurushifa berkata, ibu bapa serta ibu saudaranya itu sepatutnya pulang ke tanah air dari Doha, Qatar pada 28 Februari lalu namun, terkandas akibat pembatalan penerbangan.
“Saya mulanya bimbang kerana ibu dan ayah ada penyakit dan bergantung kepada ubat-ubatan. Bekalan ubat mereka hanya mampu bertahan selama dua minggu sahaja.
“Tapi Alhamdulillah, sepanjang berada di Doha mereka diberi layanan selesa oleh Kerajaan Turki. Saya cuma bimbang emosi mereka tidak stabil kerana terkandas di sana begitu lama.
“Saya difahamkan, mereka terpaksa menaiki bas selama 20 jam dari Doha ke Jeddah sebelum menaiki penerbangan khas pulang ke Malaysia,” katanya.
Katanya, ibu bapa ada berkongsi melihat serangan peluru balistik di udara dari jauh namun, dalam hati lega kerana rakyat awam bukan sasaran utama konflik itu.
Bagaimanapun, katanya, dia tetap bimbang sekiranya ada serpihan dan peluru yang tersesat menimpa ibu bapanya.
Jelasnya lagi, beliau bersyukur dapat sambut Aidilfitri bersama ibu dan bapanya tahun ini.
“Kami amat berharap dapat sambut Aidilfitri bersama ibu dan ayah namun, apa yang penting mereka selamat ketika berada di sana,” katanya. – UTUSAN










