PETALING JAYA: Ketua jurulatih interim Negeri Sembilan FC, K. Rajan meluahkan kegembiraannya selepas anak buahnya meraih kemenangan 6-1 ke atas PDRM di Stadium Majlis Perbandaran Selayang,semalam.
Rajan, yang mengambil alih peranan Nidzam Jamil sebelum ini berkata, kemenangan itu bukan sahaja pencapaian penting dari segi keputusan, tetapi juga membuktikan komitmen tinggi pemain di padang.
“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada barisan kejurulatihan dan pengurusan kerana sokongan mereka sepanjang tiga perlawanan ini.
“Selepas saya mengambil alih sebagai interim coach, kita tidak pernah tewas. Ini juga kemenangan pertama di tempat lawan musim ini. Kami sangat gembira menjelang cuti Raya,” katanya selepas perlawanan.
Beliau menegaskan bahawa keputusan sentiasa menjadi keutamaan dalam bola sepak, walaupun beliau tidak menafikan aspek permainan masih boleh dipertingkatkan.
“Dalam bola sepak, keputusan adalah nombor satu. PDRM pasukan yang bagus tetapi berada di tangga bawah liga.
“Ini peluang kami ambil tiga mata di tempat lawan. Dari segi permainan, sederhana sahaja tetapi keputusan tetap positif. Pemain perlu diberikan kredit atas usaha mereka,” jelasnya.
Beliau turut mendedahkan pendekatan separuh masa kedua yang membolehkan pasukannya menambah tiga gol lagi selepas jaringan awal separuh masa pertama.
“Saya kata kepada pemain, jangan berhenti menjaringkan gol. Seperti musim lepas, jumlah gol dan beza jaringan adalah penting menjelang akhir musim,” katanya.-UTUSAN










