KUALA LUMPUR: Sebanyak lima Jawatankuasa Pemantau Belanjawan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi 2026 ditubuhkan bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam mengurus peruntukan yang diterima.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, penubuhan jawatankuasa-jawatankuasa itu bagi memastikan setiap peruntukan yang diluluskan, dibelanjakan secara berhemah cekap, berkesan dan memberi impak serta manfaat langsung kepada rakyat.
Kata beliau, kesemua jawatankuasa itu dipengerusikan oleh ahli-ahli Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan berperanan menyelia bidang bidang utama perbelanjaan di bawah Belanjawan DBKL 2026.
“Jawatankuasa Pemantauan ini ditubuhkan bagi mengatasi isu kelewatan perolehan atau tender atau sebut harga sebagai contoh belanja krismas dan pelaksanaan program serta projek yang melibatkan peruntukan yang besar,” katanya di Dewan Negara, hari ini.
Tambah Hannah, ahli Parlimen yang dilantik tidak mempunyai kuasa eksekutif untuk membuat keputusan tetapi hanya memberi nasihat dan membuat pemantauan agar peruntukan yang diluluskan dibelanjakan mengikut perancangan serta tatakelola yang baik.
“Jawatankuasa ini bersidang setiap tiga bulan sekali iaitu bersamaan empat kali setahun,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab Senator Robert Lau Hui Yew mengenai srategi kerajaan dalam menguatkan tadbir urus domestik, ketelusan dan akauntabiliti dalam DBKL, kerana mempunyai belanjawan tahunan melebihi RM2.8 bilion iaitu lebih besar daripada kebanyakan kerajaan negeri.
Lima jawatankuasa ditubuhkan itu adalah Jawatankuasa Pemantauan Lestari Niaga, Jawatankuasa Pemantauan Perumahan Awam / Program Perumahan Rakyat (PA/PPR) dan Kesejahteraan Komuniti dan Jawatankuasa Pemantauan Mitigasi Banjir, Penyelenggaraan Jalan Raya, Pengurusan dan Penyelenggaraan Cerun.
Selain itu, Jawatankuasa Pemantauan Pengurusan Sistem Trafik dan Lalu Lintas serta Jawatankuasa Pemantauan Kebersihan, Bandar Hijau dan Lestari turut ditubuhkan.
Mengulas lanjut, Hannah berkata, proses penyediaan belanjawan DBKL bermula dengan mendapat pandangan warga kota melalui Portal Tinjauan Belanjawan dan permohonan daripada jabatan dalaman pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.
Jelasnya, permohonan akan disaring melalui beberapa peringkat jawatankuasa dalaman sebelum di bentangkan kepada Ahli Lembaga Penasihat yang dipengerusikan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur.
“Ahli Lembaga Penasihat berperanan memberikan nasihat dan pandangan berkaitan draf belanjawan sebelum dimuktamadkan oleh Datuk Bandar sebelum dikemukakan kepada Menteri untuk diluluskan.
“Melalui mekanisme pemantauan yang lebih tersusun dan berfokus ini, DBKL komited untuk memastikan pelaksanaan program dan projek pembangunan dilaksanakan secara telus, berintegriti dan selari dengan keutamaan kesejahteraan warga kota,” katanya.-UTUSAN











