PETALING JAYA: Beregu wanita No. 2 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah menepati jangkaan awal apabila meneruskan kemaraan ke pusingan kedua pada Kejohanan Badminton All England di Utilita Arena Birmingham, England, awal pagi tadi.
Di peringkat 32 terbaik, Pearly-Thinaah mengalahkan Arisa Igarashi-Chiharu Shida dari Jepun 21-19, 21-13 dalam masa 46 minit.
Kemenangan itu juga menyaksikan beregu No. 1 Malaysia tersebut berjaya membalas dendam di atas kekalahan mereka kepada Igarashi-Shida pada Terbuka Denmark, tahun lalu dan sekali gus, mengikat rekod pertemuan menjadi 1-1.
Pada pusingan kedua, Pearly-Thinaah bakal berdepan beregu pecah ganding Korea Selatan, Lee Seo Jin-Lee Yeon Woo.
Thinaah ketika ditemu bual melahirkan rasa gembira berjaya melangkah ke peringkat seterusnya dan kemenangan itu dilakar mereka selepas melakukan persediaan rapi.
“Saya sangat gembira dengan kemenangan, hari ini, kerana kami telah bersedia sejak kami melihat keputusan undian lagi.
“Jadi, kami bersedia dengan sangat baik dan strategi kami benar-benar berkesan, saya sangat gembira dengan kemenangan, hari ini,” katanya kepada wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas perlawanan berakhir.
Mengulas mengenai Igarashi-Shida, Pearly pula berkata, dia dan Thinaah pernah tewas di tangan beregu Jepun itu, justeru, percaturan strategi amat penting bagi mengelak kekalahan menimpa mereka.
“Kami tewas kepada mereka tahun lepas di Terbuka Denmark. Tetapi kali ini kami benar-benar mencuba sesuatu yang berbeza dari segi strategi dan segala-galanya.
“Jadi, kami benar-benar bersedia dengan baik untuk perlawanan ini dan kami sangat gembira kerana apa yang kami rancang membuahkan hasil,” katanya.
Sementara itu, nasib berbeza menimpa satu lagi beregu wanita Malaysia apabila gandingan muda, Ong Xin Yee-Carmen Ting tewas kepada pasangan No. 6 dunia, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto dari Jepun 17-21, 8-21 dalam masa 38 minit. – UTUSAN










