SEREMBAN: Masalah gagal mengekalkan konsistensi pada hujung perlawanan terus menghantui Negeri Sembilan FC (NSFC) apabila diikat 3-3 oleh Penang FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, semalam
Pada aksi itu, tuan rumah mendahului 3-2, namun gagal dipertahankan kedudukan apabila pelawat menjaringkan gol penyamaan pada minit keenam masa tambahan.
Jurulatih sementara NSFC, K. Rajan mengakui pasukan itu belum menemui jalan keluar daripada masalah keputusan berubah di penghujung perlawanan.
Walaupun akur bahawa situasi itu lazim berlaku dalam perlawanan bola sepak, katanya, ia tidak sepatutnya dibiarkan berterusan hingga menjejaskan pencapaian pasukan secara keseluruhan.
“Saya akan bertemu pemain untuk mengadakan perbincangan mendalam mencari jalan menamatkan masalah ini. Kita perlu memberitahu pemain untuk fokus sehingga sesuatu perlawanan itu berakhir terutamanya apabila kita sedang mendahului,” katanya.
Dalam pada itu, nada yang sama turut diluahkan oleh pengendali Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail yang menyifatkan para pemainnya sedikit alpa apabila gagal meraih kemenangan biarpun mendahului lawan 2-1.
“Para pemain kami harus lebih matang dan tenang mengawal permainan ketika sedang mendahului lawan.
“Mereka perlu belajar mengawal tempo permainan terutamanya ketika berkunjung ke gelanggang lawan supaya kesilapan yang sama tidak berulang,” katanya.
Kedua-dua jurulatih itu setuju baki perlawanan selepas ini amat penting yang akan menentukan kedudukan mereka dalam carta liga.
NSFC kini di tangga ketujuh diikuti Penang FC di tangga kelapan dengan kedua-dua pasukan berkongsi 19 mata, namun dibezakan dengan jumlah jaringan.-UTUSAN









