TEL AVIV: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengakui tidak dapat memberi jaminan dapat menumbangkan kerajaan Iran, walaupun perang berterusan di rantau itu berterusan.
Kenyataan itu dibuat ketika beliau menyampaikan ucapan melalui Zoom, dan pada masa sama peluru berpandu Iran dilaporkan mengenai Tel Aviv serta kawasan sekitarnya.
Dalam ucapannya, Netanyahu mendakwa menjatuhkan kerajaan Republik Islam Iran bukan objektif rasmi operasi ketenteraan Israel.
Sebaliknya, beliau mendakwa perang itu bertujuan ‘mewujudkan keadaan’ yang membolehkan rakyat Iran sendiri menggulingkan pemerintah mereka.
Bagaimanapun, beliau menyifatkan konflik semasa sebagai perang bersejarah bagi Israel, selain menegaskan sasaran utama operasi ketenteraan tetap tertumpu kepada program nuklear dan peluru berpandu balistik Iran.
Serangan ke atas Tel Aviv merupakan sebahagian daripada Gelombang 41 Operasi Janji Sejati 4, yang dilancarkan Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) dengan slogan ‘Ke Arah al-Quds’.
Selain Tel Aviv, IRGC turut melancarkan serangan serentak ke atas beberapa sasaran lain, termasuk lokasi perhimpunan tentera Amerika Syarikat (AS) berhampiran Jalan Sheikh Zayed di Dubai, Pangkalan Udara Ahmad al-Jaber di Kuwait, berek Marin AS di Pangkalan Udara Al-Dhafra di UAE, pangkalan bergerak AS di luar sempadan barat Iran dan ibu pejabat Armada Kelima AS di Pelabuhan Salman di Bahrain.
Pengakuan Netanyahu itu selari dengan penilaian agensi perisikan AS yang secara tertutup menilai kepimpinan Iran masih kekal utuh sepanjang perang yang hampir memasuki minggu ketiga.
Beberapa laporan menunjukkan struktur kepimpinan Iran masih berfungsi dan terus mengawal negara itu walaupun berdepan serangan pengeboman berterusan.
Seorang sumber memberitahu Reuters, pelbagai penilaian yang konsisten merumuskan kepimpinan Iran tidak berada dalam bahaya.
Pada masa sama, pegawai Israel turut mengakui secara tertutup masih tiada kepastian sama ada kempen ketenteraan yang berlangsung mampu menjatuhkan kerajaan Iran.- AGENSI










