KOTA BHARU: Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) kecewa kerana terdapat pihak berkepentingan memanipulasi isu bantuan terhadap rakyat yang diberikan kerajaan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Roslan Hussin berkata, ia tidak sepatutnya dijadikan isu kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan yang terbaik kepada rakyatnya.
Katanya, malah pihak berkepentingan menyalahgunakan atau cuba melindung fakta sebenar semata-mata tidak berpuas hati dengan kerajaan.
“Kita (AKM) memandang serius dan rasa sedih berhubung perkara ini kerana ada dalam kalangan pihak berkepentingan memanipulasi isu berkaitan atau memutar belitkan perkara yang tidak sahih.
“Sebagai contoh isu petrol RON95 harganya masih kekal iaitu RM1.99 seliter dan pihak berkepentingan pula mengatakan harga petrol itu naik, sedangkan fakta itu salah,” katanya pada Program Ukhwah Madani Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) di Dewan Dato’ Mat Ghani di Kubang Kerian di sini, semalam.
Roslan berkata, sikap sedemikian boleh menggugat ketenteraman dan kepercayaan masyarakat, selain boleh meruntuhkan negara. – UTUSAN










