DURBAN: Jurulatih Afrika Selatan, Hugo Broos mengakui berasa berang apabila pasukannya melepaskan gol yang tidak sepatutnya sekali gus menyebabkan mereka seri 1-1 menentang Panama dalam aksi pemanas badan menuju kelayakan Piala Dunia 2026, semalam.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Durban, Khuliso Mudau menjadi punca jaringan pembukaan Panama selepas melakukan hantaran sambil lewa pada minit ke-23.
Kesilapan pertahanan kanan itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemain tengah lawan, Yoel Barcenas yang melepaskan rembatan rendah menewaskan penjaga gol Ronwen Williams.
Bagaimanapun, Mudau memperbaiki kesilapannya sejurus babak kedua bermula apabila tandukannya hasil hantaran lintang Tshepang Moremi membuka ruang kepada Oswin Appollis untuk menyamakan kedudukan.
Afrika Selatan dilihat lebih menguasai permainan dengan mencipta beberapa peluang terbaik, namun ketumpulan penyudah terus menghantui jentera serangan mereka.
“Tiada dalam undang-undang permainan yang mengatakan anda tidak boleh menendang bola keluar dari kawasan permainan apabila berada di bawah tekanan, itulah yang sepatutnya dia (Khuliso) lakukan.
“Pertahanan cuai sekali lagi hampir menghadiahkan gol kedua kepada Panama di penghujung perlawanan. Jika mereka menjaringkan gol ketika itu, mereka mungkin akan menang.
“Saya gembira secara keseluruhan dengan prestasi kami. Perkara positif ialah kami mencipta lapan atau sembilan peluang menjaringkan gol. Perkara negatif ialah kami hanya menjaringkan satu gol,” kata Broos.
Sementara itu, pengendali Panama, Thomas Christiansen mengakui faktor perjalanan jauh dan keletihan menjejaskan prestasi anak buahnya pada penghujung aksi.
“Ia perlawanan yang fizikal dan Afrika Selatan mempamerkan aksi seperti dijangka. Kami berharap dapat tampil lebih baik pada pertemuan seterusnya di Cape Town,” katanya.
Afrika Selatan berada dalam Kumpulan A Piala Dunia bersama tuan rumah bersama Mexico, Korea Selatan dan Republik Czech atau Denmark. Panama pula bersama England, Croatia dan Ghana dalam Kumpulan L. – AFP











