Marquez tidak mampu ikut jejak Rossi

Marquez tidak mampu ikut jejak Rossi

Marc Marquez
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADRID: Bintang MotoGP, Marc Marquez menegaskan beliau tidak melihat dirinya mampu berlumba sehingga usia 40-an seperti legenda Itali, Valentino Rossi.

Juara dunia lapan kali itu berkata, faktor kecederaan serius yang pernah dialaminya menjadi antara kekangan utama untuk memanjangkan kerjaya ke tahap sedemikian.

“Secara jujur, saya tidak akan sampai umur 40 tahun. Saya mahu berlumba selama mungkin, tetapi saya juga sudah melalui beberapa pembedahan besar,” katanya dalam satu temu bual baru-baru ini.

Marquez yang kini berusia 33 tahun sedang mengharungi musim ke-14 dalam kelas utama bersama pasukan Pramac Ducati, namun mengakui keadaan fizikalnya tidak lagi seperti dahulu.

Rossi menikmati kerjaya panjang bermula sejak 1996 dalam kelas 125cc sebelum menutup tirai pada penghujung musim 2021.

Sepanjang tempoh itu, Rossi mengukuhkan status sebagai antara pelumba terhebat sepanjang zaman dengan tujuh gelaran MotoGP, selain kekal kompetitif hingga usia lewat 30-an.

Malah, kemenangan terakhir Rossi hadir pada Grand Prix Belanda 2017 ketika berusia 38 tahun, sebelum podium terakhirnya direkodkan pada tahun 2020 pada usia 41 tahun.

Dalam perkembangan semasa, Marquez berdepan permulaan musim yang mencabar apabila ketinggalan 23 mata dalam kejuaraan dunia menjelang aksi Grand Prix Brazil hujung minggu ini.

Pelumba Sepanyol itu sebelum ini terpalit kontroversi di Thailand apabila dikenakan penalti susulan insiden agresif terhadap pelumba muda sensasi, Pedro Acosta dalam perlumbaan pecut.

Lebih malang, hasratnya untuk meraih podium dalam perlumbaan utama di Buriram tidak kesampaian apabila terpaksa menarik diri akibat kerosakan teruk pada jentera selepas melanggar bahagian tepi litar.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN