Madrid singkir City, lakar kemenangan 2-1 di Etihad

Madrid singkir City, lakar kemenangan 2-1 di Etihad

VINICIUS Junior menjadi watak penting kemaraan skuad kendalian Alvaro Arbeloa ke peringkat suku akhir selepas tenang menyempurnakan sepakan penalti-IHSAN FB REAL MADRID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER: Real Madrid sekali lagi membuktikan status mereka sebagai ‘raja Eropah’ apabila menyingkirkan Manchester City daripada saingan Liga Juara-Juara Eropah dengan kemenangan 2-1 di Stadium Etihad, sekali gus melengkapkan agregat 5-1.

Kejayaan itu menyaksikan gergasi Sepanyol berkenaan menamatkan cabaran City buat musim ketiga berturut-turut di pentas elit Eropah, sekali gus mengulangi mimpi ngeri buat skuad kendalian Pep Guardiola.

City yang sudah pun dibelenggu defisit tiga gol daripada aksi pertama semakin terhimpit apabila kapten mereka, Bernardo Silva dilayangkan kad merah pada awal perlawanan selepas menghalang bola di garisan gol.

Keputusan itu membuka ruang buat Madrid untuk menjarakkan kedudukan apabila Vinicius Junior tenang menyempurnakan sepakan penalti, sekali gus meletakkan tuan rumah dalam situasi hampir mustahil untuk bangkit.

Meskipun Erling Haaland sempat menghidupkan harapan penyokong tuan rumah dengan jaringan penyamaan sebelum rehat, Real Madrid tetap tenang mengawal rentak permainan.

Ketika City cuba mencari gol tambahan, Vinicius sekali lagi muncul wira apabila meledak jaringan pada penghujung perlawanan bagi memastikan kemenangan mutlak buat pelawat.

Kekalahan itu menyaksikan musim City semakin berada di persimpangan getir apabila mereka kini berdepan tekanan dalam beberapa kejohanan lain.

Selepas gagal mencatat kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir, Guardiola perlu segera mencari formula terbaik menjelang aksi final Piala Liga menentang Arsenal, Ahad ini.

Dalam saingan Liga Perdana Inggeris pula, City ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu Arsenal, selain bakal berdepan Liverpool pada peringkat suku akhir Piala FA bulan depan.

Sementara itu, Madrid terus mengorak langkah dengan penuh keyakinan di pentas kalah mati walaupun prestasi domestik mereka tidak begitu konsisten.

Pengendalinya, Alvaro Arbeloa turut berpeluang menguruskan kecergasan pemain apabila Kylian Mbappe direhatkan selepas pulih daripada kecederaan, manakala Jude Bellingham dijangka kembali cergas menjelang kemungkinan aksi suku akhir menentang Bayern Munich.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN