PETALING JAYA: Lima kawasan di Perak berada pada tahap berjaga-jaga apabila suhu maksimum harian mencecah antara 35 hingga 37 darjah Celsius, menghampiri tahap gelombang haba.
Berdasarkan pemantauan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dalam kemas kini status cuaca panas setakat pukul 6 pagi tadi, daerah terlibat ialah Perak Tengah, Kinta, Kuala Kangsar, Selama dan Hulu Perak.
Menurut MetMalaysia, status Tahap Satu atau tahap berjaga-jaga ditakrifkan apabila suhu maksimum harian berada antara 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.
“Status tahap dua atau gelombang haba diisytiharkan apabila suhu maksimum berada dalam lingkungan 37 hingga 40 darjah Celcius bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.
“Selain Perak, beberapa kawasan lain yang masih berada pada tahap satu termasuk Perlis dan tujuh daerah di Kedah iaitu Sik, Padang Terap, Kubang Pasu, Pulau Langkawi, Kuala Muda serta Kulim dan Bandar Baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, beberapa kawasan di Johor dan Pahang seperti Segamat dan Jerantut yang turut merekodkan suhu tinggi belum mencapai gelombang haba.
Katanya, terdapat juga beberapa kawasan di Kedah dilaporkan telah mencapai tahap gelombang haba selepas merekodkan suhu melebihi 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.
Dalam pada itu, pemantauan berterusan dilakukan bagi mengenal pasti sebarang perubahan kepada tahap gelombang haba di kawasan terlibat. – UTUSAN










