KABUL: Tentera Pakistan dan Afghanistan bertempur di puluhan lokasi sepanjang sempadan pada Jumaat, ketika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan lebih 100,000 orang dipaksa berpindah ekoran konflik yang berlangsung selama seminggu itu.
Pertempuran terburuk antara kedua-dua negara Asia Selatan dalam beberapa tahun ini menunjukkan tiada tanda perdamaian, sekali gus menambah ketidaktentuan di rantau yang juga sedang menghadapi serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran, turut bersempadan dengan Afghanistan serta Pakistan.
Dalam operasi ketenteraan itu, tentera Pakistan melancarkan serangan udara ke atas kemudahan kerajaan Taliban, termasuk pangkalan udara Bagram di utara ibu negara Kabul.
Kementerian Pertahanan Afghanistan berkata, pasukan Taliban menyerang kem tentera Pakistan sepanjang sempadan sejauh 2,600 kilometer (km), memusnahkan beberapa pos dan menembak jatuh sebuah dron.
Dalam pertempuran itu, tujuh orang awam Afghanistan dan tiga anggota Taliban dilaporkan terkorban.
Sumber keselamatan Pakistan pula berkata, mereka melaksanakan operasi darat dan udara ke atas sasaran ketenteraan termasuk Kandahar, kawasan utama Taliban dan tempat kediaman kepemimpinan terasnya, serta memusnahkan beberapa pos sempadan Afghanistan.
Puluhan orang berhimpun di Kabul semalam bagi membantah serangan Pakistan ke atas wilayah Afghanistan, melaungkan slogan anti-Pakistan, menurut seorang saksi.
Agensi berita Bakhter melaporkan satu perhimpunan besar di wilayah Laghman juga menunjukkan bantahan terhadap serangan Pakistan baru-baru ini.
Penduduk di bandar-bandar sempadan memberitahu Reuters, tentera mula saling berbalas tembakan selepas matahari terbenam, meletakkan rumah-rumah dalam garisan serangan ketika keluarga sedang berbuka puasa.
Beberapa penduduk berkata, saudara-mara dan jiran terpaksa melarikan diri.
“Keadaan di Afghanistan dan Pakistan kekal tegang susulan konflik aktif sepanjang sempadan,” kata agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sambil menambah kira-kira 115,000 orang di Afghanistan dan 3,000 di Pakistan dipercayai melarikan diri dari kediaman mereka.
Beberapa negara menawarkan rundingan gencatan senjata, terkini Turkiye, walaupun perang di Iran mengalihkan perhatian kebanyakan negara Teluk yang sebelum ini tampil menawarkan bantuan.- AGENSI










