TANAH MERAH: Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) merekodkan lebih RM13 bilion Wang Tak Dituntut (WTD) setakat Januari lalu melibatkan wang milik individu dan syarikat di seluruh negara.
Akauntan Negara, Datuk Zainani Jusoh berkata, daripada jumlah tersebut, kira-kira RM7 bilion masih berada dalam akaun amanah WTD manakala selebihnya diselaraskan ke dalam Akaun Hasil Disatukan selepas tidak dituntut dalam tempoh 10 tahun.
“Wang tersebut masih boleh dituntut oleh pemilik atau waris yang sah walaupun dimasukkan ke dalam akaun berkenaan.
“Sekiranya terdapat permohonan tuntutan, wang yang dilaraskan ke dalam Akaun Hasil Disatukan itu tetap dibayar semula kepada pemilik atau waris,” katanya selepas Majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani Jabatan Akauntan Negara Malaysia di Masjid Iktikaf Ibnu Sina, Kampung Bukit Merah di sini, hari ini.
Zainani berkata, bagi memudahkan orang ramai membuat semakan dan tuntutan, JANM menyediakan perkhidmatan di kaunter jabatan itu di setiap negeri selain secara dalam talian menerusi portal eGUMIS.
Katanya, pihaknya turut menyediakan kaunter bergerak menggunakan bas JANM bagi membolehkan orang ramai menyemak dan menuntut wang berkenaan dengan lebih mudah.
Sementara itu, beliau berkata, JANM tidak pernah melantik mana-mana ejen untuk menguruskan urusan semakan atau tuntutan WTD. – UTUSAN










