KUALA LUMPUR: Pesakit bukan warganegara menyumbang hampir separuh daripada keseluruhan kutipan hasil fi perubatan iaitu sebanyak RM275.88 juta daripada jumlah keseluruhan RM565.75 juta yang direkodkan sehingga Disember 2025.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, jumlah tersebut bersamaan 48.76 peratus daripada keseluruhan kutipan hasil fi perubatan yang dilaporkan bagi tempoh berkenaan.
Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa komited dalam memberikan perkhidmatan kesihatan tanpa batas kepada semua golongan termasuk pesakit bukan warganegara.
“Pesakit bukan warganegara yang mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan KKM dikenakan caj tanpa subsidi di bawah Perintah Fi (Perubatan) (Kos Perkhidmatan) 2014.
“Bagi 2025 sehingga bulan Disember, jumlah kutipan hasil fi perubatan KKM daripada pesakit bukan warganegara adalah sebanyak RM275.88 juta daripada jumlah keseluruhan kutipan hasil fi perubatan dilaporkan iaitu sebanyak RM565.75 juta bagi tempoh tersebut,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Mohd. Hasbie Muda mengenai langkah menyeluruh KKM untuk memastikan kebocoran kewangan tidak berlaku akibat pesakit warga asing yang tidak membayar fi rawatan di hospital dan klinik kerajaan
Dzulkefly berkata, masih terdapat segelintir pesakit terutama yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri atau Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) serta individu tanpa kewarganegaraan yang tidak menjelaskan bil perubatan selepas mendapatkan rawatan sehingga menyebabkan tunggakan.
KKM melaksanakan beberapa langkah dalam mengurangkan tunggakan bil perubatan selaras dengan Surat Pekeliling Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia Bilangan 2 Tahun 2019 mengenai Garis Panduan Pelaksanaan Perintah Fi (Perubatan) (Kos Perkhidmatan) 2014 serta Garis Panduan Pengurusan Kutipan, Tunggakan dan Hapus Kira di Fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia.
Antara langkah diambil termasuk kutipan deposit bagi pesakit dalam sebelum kemasukan ke wad, pengeluaran surat peringatan dan notis undang-undang kepada pesakit serta majikan, selain menghubungi waris, kedutaan asing atau majikan bagi menjelaskan bil tertunggak.
KKM juga melaksanakan mekanisme jaminan bank supaya tuntutan bil boleh dibuat terus dengan pihak majikan serta pemotongan jaminan sekiranya majikan gagal menjelaskan bayaran selepas surat peringatan dikeluarkan.
Selain itu, KKM bekerjasama dengan Jabatan Imigresen (JIM) bagi mewajibkan majikan mencarum insurans Skim Insurans Kesihatan Pekerja Asing (SPIKPA) dalam proses permohonan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).
KKM turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berhasrat membantu membiayai kos rawatan pesakit warga asing yang tidak mampu menampung kos perubatan.
Pada masa sama, pesakit warga asing yang didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah akan dilaporkan kepada pihak JIM untuk tujuan penguatkuasaan.
Menurut Dzulkefly, KKM sedang mempertingkatkan jaringan kerjasama dengan agensi kerajaan bagi mengkaji serta mengenal pasti strategi dan pelan tindakan.
Katanya, ia melibatkan aspek pengurusan pesakit warga asing khususnya PATI dan pekerja asing bagi memastikan isu tunggakan bil perubatan dapat diselesaikan secara holistik.
“KKM akan terus memantau dan mengambil tindakan kutipan tunggakan bil-bil perubatan terutamanya dalam kalangan pesakit bukan warganegara berdasarkan garis panduan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada bagi memastikan tidak berlaku kebocoran kewangan di fasiliti-fasiliti kesihatan KKM,” katanya. – UTUSAN







