PETALING JAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akan terus berbincang dengan Kementerian Kewangan bagi meneliti kemungkinan penyediaan mekanisme sokongan bersesuaian untuk memastikan kesinambungan pembangunan atlet berpotensi tinggi termasuk dalam sukan permotoran.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, kejayaan dan perjalanan pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli merupakan simbol harapan dan inspirasi kepada generasi muda Malaysia.
“Beliau membuktikan bahawa dengan disiplin, keberanian dan sokongan yang tepat, anak muda kita
mampu bersaing dengan pelumba terbaik dunia.
“KBS kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan semua pihak termasuk Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM), agensi kerajaan, rakan industri dan penaja korporat bagi memperkukuh pembangunan sukan negara demi masa depan atlet Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan KBS di sini, hari ini.
Bagaimanapun, menurut beliau, keputusan dasar yang dibuat pada tahun lalu memutuskan untuk tahun 2026, permohonan dana Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) akan memberi keutamaan kepada sukan yang dipertandingkan dalam temasya utama seperti Sukan Olimpik, Sukan Asia, Sukan SEA dan Paralimpik serta Para ASEAN.
“Keputusan ini diambil setelah mengambil kira temasya-temasya sukan utama yang bakal dihadapi kontinjen negara iaitu Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland, Sukan Asia dan Para Asia di Aichi dan Nagoya, Jepun, serta Sukan SEA 2027 di mana Malaysia menjadi tuan rumah.
“KBS memahami bahawa pencapaian atlet negara di pentas dunia termasuk dalam sukan yang tidak dipertandingkan dalam temasya tersebut tetap memberi impak besar kepada imej negara,” katanya.
Justeru, beliau memberi jaminan, kementeriannya sentiasa komited dalam menyokong pembangunan bakat sukan tanah air termasuk sukan permotoran, selari dengan matlamat untuk melahirkan atlet berprestasi tinggi yang mampu bersaing di pentas dunia.
Mohammed Taufiq berkata, pada tahun lalu, KBS melalui dana KWASN telah menyalurkan sejumlah RM3 juta kepada SIC bagi melaksanakan Program Pembangunan Sukan Permotoran Berprestasi Tinggi 2025.
Tambah beliau, peruntukan itu merangkumi tiga program utama pembangunan pelumba muda negara termasuk bantuan sebanyak RM1.159 juta untuk Hakim Danish yang bersaing di dalam Piala Red Bull MotoGP Rookies.
“Bagi Qabil Irfan Azlan yang beraksi di dalam ESBK Talent Cup menerima peruntukan sebanyak RM1.3juta, manakala, Sharf Muhriz dan Adam Danial yang bertanding di dalam Asia Talent Cup menerima bantuan sebanyak RM540,000.
“Dana ini bertujuan menampung kos penyertaan kejohanan, operasi pasukan, latihan, serta keperluan pembangunan pelumba sepanjang musim 2025,” ujarnya.
Kata Mohammed Taufiq, bagi memperkukuh laluan pembangunan karier Hakim Danish, KBS turut
meluluskan peruntukan tambahan RM1 juta melalui KWASN bagi penyertaan pelumba itu dalam Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP 2025.
Jelas beliau, sokongan itu selari dengan pelan pembangunan jangka panjang KBS menerusi Motorsports Development Blueprint (MDEV) yang menjadi panduan hala tuju pembangunan bakat pelumba tempatan dari peringkat akar umbi sehingga ke kejohanan dunia seperti MotoGP. – UTUSAN










