KUALA LUMPUR: Kajian cadangan mewujudkan pilihan raya bagi jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur dijangka siap hujung bulan ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, setakat ini hanya satu laporan interim diterima memandangkan proses kajian masih berjalan termasuk sesi temu bual dengan pihak berkepentingan.
Katanya, kajian tidak hanya tertumpu kepada cadangan pilihan raya datuk bandar semata-mata, sebaliknya merangkumi penelitian menyeluruh berkaitan tadbir urus Kuala Lumpur di bawah kerangka Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.
“Lepas bulan Mac mereka siap, jika tidak mereka akan berjumpa dengan kita. Mereka dah berjumpa sekali dan dah ada laporan interim, tetapi sesi temu bual masih berjalan.
“Itu belum lagi (pembentangan pada Jemaah Menteri), saya kena tunggu kajian dulu. Hasil kajian habis bulan Mac,” katanya dalam sidang akhbar taklimat memperkukuh keselamatan kebakaran di bangunan strata di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Bulan lalu, Utusan Malaysia melaporkan, kajian cadangan mewujudkan pilihan raya bagi jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur yang dilaksanakan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) belum bermula.
Presiden UIAM, Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata, ia disebabkan mandat kajian masih belum jelas dan memerlukan perincian lanjut.
Hasil kajian tersebut akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri sebelum sebarang keputusan dibuat sama ada cadangan berkenaan sesuai dilaksanakan atau memerlukan pindaan akta oleh Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP).
Kajian itu akan membantu kerajaan membuat keputusan sama ada cadangan tersebut sesuai dilaksanakan atau tidak. – UTUSAN










